suria

Aksi Kelantan Lawan QPR Di Stadium Shah Alam 20 Julai Ini

KOTA BAHARU: Perlawanan persahabatan antara Kelantan dan kelab liga Inggeris Queens Park Rangers (QPR) di Stadium Shah Alam pada 20 Julai ini, akan bermula pukul 9.15 malam.

Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa berkata QPR bersetuju melewatkan sedikit sepak mula perlawanan itu bagi memberi peluang penonton beragama Islam menunaikan solat sunat Terawih kerana umat Islam negara ini, djangka mula berpuasa pada keesokan harinya.

Bercakap pada sidang media sempena Siri Jelajah QPR di sini hari ini, Annuar berkata pengurusan stadium akan menyediakan lebih banyak tempat untuk penonton menunaikan solat sunat Terawih di stadium pada malam perlawanan itu.

"Pemilihan tarikh itu bukan sengaja dibuat pada malam pertama Ramadan. Namun bagi memudahkan penyokong di Kelantan pergi ke Selangor bagi menyaksikan perlawanan tersebut tanpa perlu bercuti.

"Kalau buat di Stadium Sultan Muhammad ke-IV juga akan menimbulkan masalah kerana tidak dapat menampung jumlah penonton yang ramai kerana hanya mampu memuatkan kira-kira 15,000 orang," katanya.

Annuar berkata sebanyak 65,000 tiket dijangka dijual sempena perlawanan berkenaan dan harganya lebih murah berbanding perlawanan akhir Piala FA menentang Kelab Sime Darby pada Mei lepas, iaitu RM33, RM53 dan RM73 bagi tempat terbuka.

Ditanya mengenai pemilihan Stadium Shah Alam sebagai venue perlawanan tersebut, beliau berkata ia berikutan Stadium Nasional Bukit Jalil akan digunakan skuad negara menentang Arsenal empat hari kemudiannya.

"Kita sebenarnya berhasrat mengadakan perlawanan tersebut di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, namun berikutan kemudahan daripada segi teknikal yang kurang memuaskan, ia terpaksa ditukar ke tempat lain," katanya.

Peminat juga berpeluang menyaksikan sesi latihan dan sesi ramah mesra bersama kedua-dua pasukan bola sepak itu pada 19 Julai di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV.

Pasukan QPR dijangka menurunkan kesebelasan utama termasuk Andy Johnson, Robert Green, Anton Ferdinand dan Djibril Cisse pada perlawanan tersebut.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

FAM Tunggu Aduan Rasmi Kafa

Artikel Lain