Selamat tinggal...Laurent Blanc memutuskan untuk tidak memperbaharui kontraknya bersama Perancis.LAURENT Blanc telah meletak jawatan sebagai pengurus skuad kebangsaan Perancis pada Ahad.Terdahulu, khabar angin bertiup kencang mengatakan bekas pengurus Bordeaux itu tidak akan meneruskan kontraknya bersama Les Blues selepas satu mesyuarat di antara Blanc dengan Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) berlangsung. FFF kemudiannya mengesahkan pengurus berusia 46 tahun itu tidak akan memperbaharui kontraknya ekoran penyingkiran Perancis daripada kejohanan Euro 2012 pada peringkat suku akhir.Pada perlawanan suku akhir, Perancis tewas 0-2 kepada juara bertahan, Sepanyol."Laurent Blanc pada Sabtu menghubungi Presiden FFF, Noel Le Graet untuk menyatakan keputusannya yang enggan memperbaharui kontrak sebagai pengurus skuad kebangsaan."FFF menerima keputusan Blanc yang menerajui skuad kebangsaan sejak Ogos 2010," kata FFF dalam satu kenyataan.Terbaru, bekas kapten Perancis Didier Deschamps yang pernah mengemudi pasukan itu menjuarai kejohanan Piala Dunia dan Euro dilihat sebagai calon pilihan untuk mengisi kerusi yang ditinggalkan Blanc.Di atas kertas, Deschamps merupakan calon tepat untuk jawatan tersebut susulan pencapaiannya membawa Monaco beraksi di final Liga Juara-Juara Eropah pada 2004.Beliau juga pernah membimbing bekas kelabnya, Juventus sebelum berhijrah ke Marseille.