suria

TSG Cari Pelumba Import Baru Di Eropah

KUALA TERENGGANU: Croatia, Austria dan Perancis adalah antara beberapa negara tumpuan pasukan profesional - Terengganu Cycling Team (TSG) mencari pelumba import baru bagi memperkuatkan pasukan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Hadi Hassan berkata ketika ini TSG mempunyai tiga pelumba import iaitu dua dari Jepun dan seorang dari Korea Selatan sejak pasukan itu ditubuhkan tahun lepas.

"Kita perlukan seorang lagi pelumba import berkualiti bagi melengkapkan barisan pelumba import TSG bagi menghadapi saingan kejohanan yang akan disertainya mulai tahun depan," katanya.

Beliau berkata pencarian pelumba berkenaan terarah kepada nama-nama besar dalam sukan berbasikal di beberapa negara di Eropah.

"Ada dalam kalangan pelumba itu sendiri memohon menyertai TSG selain kita juga ada berhubung dengan pegawai kejohanan di negara-negara berkenaan untuk mengenal pasti pelumba yang berpotensi," katanya.

Hadi berkata pihaknya tidak terburu-buru dalam hal tersebut kerana tindakan seumpama itu mungkin mendatangkan hasil tidak baik sekiranya tersalah membuat pemilihan.

Tambahan pula, beliau berkata TSG sendiri sudah mempunyai pelumba tempatan berwibawa seperti Mohd Harris Salleh yang mempunyai kemampuan beraksi di peringkat Asia.

Dalam perkembangan lain, Hadi berkata TSG akan membuat tinjauan di Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Pahang untuk mencari pelumba tempatan berbakat untuk diserapkan ke dalam pasukan itu.

Katanya TSG memerlukan sekurang-kurangnya empat pelumba muda yang mampu membuktikan kewibawaan dalam temasya itu sebelum ditawarkan kontrak.

Beliau berkata TSG juga akan menawarkan kontrak baru kepada pelumba-pelumba sedia ada pada Oktober ini sebagai persiapan menghadapi musim baru perlumbaan tahun depan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

FAM Tunggu Aduan Rasmi Kafa

Artikel Lain