Penjaga gol Jerman, Manuel Neuer cuba menyelamatkan bola yang telah melepasi garisan gol. Namun jaringan Lampard itu dinafikan pengadil ketika aksi Piala Dunia 2010. PENGGUNAAN teknologi garisan gol akhirnya mendapat lampu hijau daripada Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) di Zurich pada Khamis (semalam) selepas beberapa bulan menjalani percubaan dengan dua sistem iaitu Hawk Eyes dan GoalRef.Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), Jerome Valcke membuat pengumuman bahawa dua sistem tersebut akan diuji lebih jelas pada kejohanan Piala Dunia Kelab FIFA di Jepun, Disember ini. Ini bermakna, Liga Perdana Inggeris dan Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA) bakal mengaplikasikan teknologi ini dalam tempoh terdekat.Sekiranya kedua-dua teknologi ini memberi kepuasan, ia turut akan digunakan pada kejohanan Piala Konfederasi 2013 dan Piala Dunia 2014.Pengurus Chelsea, Roberto Di Matteo berkata, sistem ini diperlukan secepat mungkin.“Kita dapat lihat setiap musim, setiap perlawanan besar, kita perlukan teknologi ini kerana sering berlaku saat genting ketika permainan dan dengan adanya teknologi ini, ia mampu memberi keputusan yang tepat,” katanya.Bagaimanapun masih ada lagi perkara yang perlu ditangguhkan sebelum sistem ini dilaksanakan sepenuhnya.IFAB juga berkata, teknologi ini akan digunakan hanya untuk membantu pengadil membuat keputusan sama ada bola melebihi garisan gol atau tidak.Ini bermakna, pengadil berhak membuat keputusan berdasarkan apa yang mereka nampak walaupun sistem menunjukkan bola telah melebihi garisan gol.Presiden FIFA, Sepp Blatter menyokong sistem ini sepenuhnya apabila menyaksikan jaringan Frank Lampard tidak dikira ketika aksi Piala Dunia 2010 menentang Jerman.Penggunaan sistem ini terus disebut-sebut apabila sekali lagi timbul kontroversi pada aksi Euro 2012 yang mana gol pasukan Ukraine dinafikan ketika menentang England.Sistem Hawk-Eye telah diuji di Stadium St Mary milik Southampton pada Mei lalu dan ujian teknologi kedua digunakan ketika perlawanan persahabatan antarabangsa England bertemu Belgium 2 Jun lalu.Manakala sistem GaolRef telah diuji pada perlawanan Superliga Denmark 23 Mac lalu.Hawk-Eye menggunakan sistem kamera berkuasa tinggi yang diletakkan di beberapa lokasi berbeza.Ia turut digunakan dalam acara sukan kriket, tenis dan snuker.GoalRef direka dengan meletakkan mikrocip di dalam bola dan daya magnet akan dipasang di sekitar palang gol.