Pemain-pemain Arsenal menjalani latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Isnin.KUALA LUMPUR: Hampir 5,000 peminat tempatan dan luar pasukan Liga Perdana Inggeris, Arsenal FC, malam Isnin berkunjung ke Stadium Nasional Bukit Jalil di sini bagi menyaksikan sesi latihan pasukan 'The Gunners' mereka.Beberapa pemain kelab tersohor England itu memakai baju-T kelab tersebut dan bersorak sebaik sahaja skuad 24 pemain turun ke padang. Sesi latihan selama dua jam itu dikawal selia oleh pengurus pasukan Arsene Wenger.Terdahulu itu, pada sebelah petang empat pemain Thomas Vermaelan, Alex Song, Mikel Arteta dan Abou Fiaby mengendalikan klinik latihan untuk 60 pemain muda berusia sembilan dan 14 tahun di Hotel Saujana, Petaling Jaya, dekat sini.Kesemua pemain itu diberi peluang mengikuti sesi soal-jawab dengan pemain 'The Gunners' itu selain mendapatkan autograf dan merakamankan gambar dengan pemain pilihan masing-masing.Di samping pemain kecil itu, mereka turut meluangkan masa selama dua jam untuk berjumpa dengan 400 peminat terpilih bukan sahaja dari Malaysia tetapi juga dari Singapura, Indonesia dan Filipina.Pemain Arsenal, Arteta ketika ditemui pemberita selepas klinik latihan itu, berkata ketika zaman mudanya beliau sentiasa ingin bertemu dengan idolanya dan bermimpi untuk bermain dengan mereka."Kanak-kanak ini mempunyai semangat yang bagus dan adalah hebat untuk bertemu dengan pemain muda ini yang mempunyai minat begitu mendalam dalam bola sepak."Kami memang terasa teruja untuk menghabiskan masa bersama mereka ini dan ia telah memberi inspirasi untuk melihat bagaimana mereka begitu minat untuk mempelajari kemahiran baharu," kata pemain warga Sepanyol berusia 30 tahun itu.Pasukan Arsenal FC akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang skuad kebangsaan, Harimau Malaya di stadium sama malam Selasa.'The Gunners' menumpaskan skuad Harimau Malaya 4-0 pada pertemuan sama tahun lepas. - BERNAMA