KUALA TERENGGANU: Dua pemain Sabah dan seorang pemain kelab Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah menjadi sandaran skuad T-Team dalam menghadapi saingan Piala Malaysia, September ini.Pemain Sabah berkenaan ialah Sumerdi Hajalan dan Shahrul Azhar Ture yang masing-masing di posisi tengah dan pertahanan sementara pemain pasukan polis, Mohd Fauzi Abd Majid yang bermain di posisi penyerang. Jurulatih Yunus Alif berkata, T-Team akan meminjam tiga pemain berkenaan bagi memperkuatkan pasukan itu dalam saingan Piala Malaysia."Kita harap mereka (pemain berkenaan) mampu memberi sumbangan kepada pasukan T-Team dalam kejohanan berprestij itu," katanya kepada Bernama di sini Isnin.Yunus berkata ketiga-tiga pemain berkenaan baru mendapat kelulusan dari pihak pengurusan masing-masing dan mereka dijangka mengikuti sesi latihan bersama pasukan itu mulai minggu depan.Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka mengadakan undian Piala Malaysia bagi menentukan kumpulan pada Khamis ini. - BERNAMA