KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei masih boleh menjadi sandaran utama bagi misi membawa pulang pingat emas pertama negara pada temasya Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil pada 2016.Bekas presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Elyas Omar berkata,Chong Wei yang kini mencecah umur 30 tahun masih dianggap muda dan tiada masalah bagi beliau untuk mewakili negara dalam tempoh empat tahun lagi. "Tidak salah bermain badminton pada usia 34 tahun...jika Chong Wei terus mampu menjaga kesihatan dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius sepanjang tempoh tiga atau empat tahun lagi."Malah saya fikir pada usia tersebut Chong Wei akan lebih matang, malah lebih berpengalaman...lagipun beliau sendiri bersedia untuk terus menggalas cabaran itu," katanya.Elyas berkata daripada pemerhatian, tahap persembahan Chong Wei pada Sukan Olimpik London baru-baru ini, lebih mantap berbanding edisi di Beijing pada 2008 berikutan kesukaran Lin Dan untuk menewaskan jaguh badminton negara itu.Pada perlawanan akhir badminton perseorangan lelaki di Olimpik London, Ahad lepas, Chong Wei kecundang 21-15, 10-21, 19-21 kepada pemain nombor satu dunia, Lin Dan dari China."Chong Wei hanya tewas tipis kepada Lin Dan dan kesungguhan yang ditunjukkan beliau perlu diberi pujian dan adalah tidak wajar jika ada pihak yang menyalahkannya," katanya sambil menambah Chong Wei sewajarnya menerima sokongan daripada seluruh rakyat Malaysia.-BERNAMA