CANBERRA: Juara bertahan Datuk Nicol David kembali pada tahap terbaiknya untuk menumpaskan bekas juara 2010 Madelina Perry pada separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Australia di sini Sabtu.Nicol menjinakkan lawannya dari Ireland Utara itu 11,-7, 11-4, 11-5 untuk bertemu dengan pemain England, Laura Massaro pada perlawanan akhir. Massaro pula melangkah ke final apabila terpaksa berhempas pulas untuk mengalahkan pemain India, Dipika Palikal 11-7, 7-11, 13-11, 3-11, 11-9 pada satu lagi saingan separuh akhir.Dalam pada itu, ratu skuasy negara, Nicol, yang terpaksa bekerja keras pada saingan suku akhir sebelum menewaskan Alisan Waters dari England, tidak menampakkan keletihan malah menunjukkan prestasi cemerlang ketika menentang Perry.Perry mengakui beliau melakukan banyak kesilapan dengan pukulan rendah dan gerakan Nicol dalam gelanggang begitu pantas mengejar bola tanpa kesilapan sehingga menyukarkan beliau memperoleh mata."Perlawanan semalam memberi banyak motivasi untuk saya menghadapi perlawanan hari ini kerana ia dapat memberikan saya tumpuan sepenuhnya," kata Nicol.Mengikut statistik perlawanan, Nicol telah berjaya mengatasi Massaro sebanyak 15 kali daripada 17 pertemuan antara mereka.Massaro hanya mengatasi Nicol pada Terbuka Malaysia dan Singapore Masters pada 2011.Dalam kategori lelaki, pilihan utama Ramy Ashour dari Mesir akan menentang rakan senegara Omar Mosaad pada perlawanan akhir selepas masing-masing memenangi perlawanan separuh akhir.Ramy menumpaskan pemain nombor satu Australia Cameron Pillay 8-11, 11-7, 11-7, 11-7 manakala Omar mengalahkan pemain England, Tom Richards, 9-11, 11-3, 11-3, 11-3 dalam pertemuan separuh akhir. - BERNAMA