suria

15,000 Peserta Dijangka Sertai Larian Nike

KUALA LUMPUR: Sebanyak 15,000 pelari di negara ini dijangka mengambil bahagian dalam siri larian Nike 'We Run' yang akan berlangsung pada 13 Oktober depan.

Pelari Malaysia itu akan menjadi sebahagian pergerakan larian global 'We Run' melibatkan 395,500 pelari dari 32 bandar yang menyertai program berkenaan untuk memberi inspirasi, menyokong dan menghubungkan pelari di seluruh dunia.

"Perlumbaan itu bertujuan menjalin hubungan masyarakat global atlet baru menerusi larian penghubung paling penting Nike," kata Pengurus Pemasaran Nike Malaysia Joan Yeoh dalam kenyataan di sini, Isnin.

Malaysia adalah sebahagian dari 32 hentian di seluruh Asia, Afrika, Timur Tengah, Eropah Tengah dan Amerika Latin. Siri larian itu akan bermula pada 1 Sept di Prague, Republik Czech dan tamat di Rio de Janeiro, Brazil pada 15 Dis.

Joan berkata larian tahun ini berbeza dengan siri larian Nike 'We Run' sebelum ini kerana ia buat pertama kalinya akan diadakan pada sebelah petang di tengah-tengah pusat bandar.

Larian 'Nike We Run KL' sejauh 10km itu akan bermula di Jalan Ampang pada pukul 5.30 petang dan tamat di Dataran Merdeka.

Pendaftaran menyertai larian itu akan dibuka pada 7 Sept selepas pukul 9 pagi di www.werunkl10k.com.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.facebook.com/NikeRunningMY atau www.nikerunning.com.my.

Artikel Berikut

Arsenal Benam Liverpool 2-0

Artikel Lain