KUALA LUMPUR: Lebih 10,000 tiket bagi menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor edisi ke-11 di Stadium Shah Alam, pada 29 September ini, sudah dijual.Pengerusi jawatankuasa penganjur Datuk Abd Karim Munisar berkata pihaknya berharap jumlah jualan tiket akan meningkat sebelum perlawanan bagi mengisi kapasiti 80,000 tempat duduk di stadium berkenaan. "Kami menganjurkan beberapa aktiviti untuk edisi tahun ini. Artis tempatan seperti Awie dan Ziana Zain akan membuat persembahan dan buat pertama kalinya, 500 pelajar sekolah akan melakukan formasi beberapa bentuk selain pertunjukan bunga api pada malam itu," katanya pada sidang media di sini, Jumaat.Piala Sultan Selangor akan membuka tirai dengan perlawanan melibatkan pemain veteran Selangor menentang veteran Singapura, diikuti pertemuan antara Pilihan Selangor menentang Pilihan Singapura.Selepas kali terakhir menang pada 2008 menerusi penentuan sepakan penalti, Selangor tewas pada tiga edisi berturut-turut iaitu 0-3 (2009), 0-6 (2010) dan 0-1 (2011).Abd Karim berkata sebanyak 1,000 tiket percuma diberikan kepada penyokong Singapura manakala cabutan bertuah akan diadakan bagi mereka yang membeli tiket menyaksikan perlawanan tersebut.Ditanya berhubung pemberian tiket percuma itu, beliau berkata perlawanan itu bukannya bagi mengaut keuntungan sebaliknya untuk mengimbas kembali nostalgia bola sepak dalam kalangan peminat bola sepak Malaysia.Sementara itu, kapten pasukan pilihan Selangor, Safiq Rahim berharap pasukannya dapat merampas kembali piala tersebut selepas kekalahan tiga kali berturut-turut di tangan Singapura pada kejohanan tersebut."Tahun ini Selangor diperkuatkan dengan kehadiran penyerang kebangsaan Safee Sali, pemain import serta Amri Yahyah yang kembali daripada penggantungan dan kami bertekad merampas kembali piala itu," katanya.Penyerang import Selangor, Bosko Balaban berkata beliau teruja beraksi buat pertama kali pada kejohanan itu dan percaya, peluang pasukan itu mendakap kembali piala tersebut adalah cerah. - BERNAMA