suria

Veteren Singapura Tumpaskan Veteren Selangor 2-1

SHAH ALAM: Pasukan veteran Singapura menebus kembali kekalahan tahun lepas apabila mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas veteran Selangor pada perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor edisi ke-11 di Stadium Shah Alam, Sabtu malam.

Pasukan veteran Singapura bermula garang apabila membuka jaringan seawal minit ke-sembilan menerusi sepakan deras Steven Tan Teng Chuan.

Kegembiraan pasukan pelawat tidak kekal lama apabila bekas pemain kebangsaan, Zainal Abidin Hassan menjaringan gol penyamaan selang empat minit kemudian.

Zainal Abidin hampir menggandakan jaringan pada minit ke-16, namun sepakan derasnya berjaya diselamatkan penjaga gol veteran Singapura, Mohd Shahri Abdul Rahim.

Bersambung babak kedua, pasukan veteran Singapura kembali bangkit menyusun jentera serangan dan berjaya membolosi pertahanan tuan rumah.

Pasukan pelawat menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-37 menerusi Fandi Ahmad.

Pada edisi tahun lepas, pasukan veteran Selangor menumpaskan veteran Singapura 3-1, di venue yang sama. BERNAMA

Artikel Lain