suria

Badminton: Chong Wei Tidak Sertai Terbuka Perancis

PETALING JAYA: Pemain nombor 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei tidak akan menyertai Kejohanan Terbuka Perancis dari 23-28 Oktober ini kerana terlalu hampir dengan tarikh majlis perkahwinan beliau dengan Wong Mew Choo awal bulan depan.

Pemain berusia 29 tahun ini bersama bekas pemain kebangsaan Mew Choo dikhabarkan akan berkahwin pada 10-11 November depan.

Kawan baiknya yang juga musuh utama dalam badminton, Lin Dan dan Chen Jin dari China dijangka turut hadir pada majlis tersebut bersama seorang lagi jaguh dari Indonesia, Taufik hidayat.

Chong Wei, bagaimanapun, bakal menyertai kejohanan Terbuka Denmark, pada 16-21 Oktober ini.

Biarpun tanpa beberapa bintang utama, Terbuka Perancis tetap akan dibarisi beberapa lagi nama besar seperti pemain nombor lima Indonesia, Simon Santoso dan jaguh dari Jepun Sho Sasaki.

Ia juga memberi peluang kepada pemain lain seperti Chong Wei Feng dan Liew Daren untuk menyerlah di peringkat antarabangsa.

Sekurang-kurangnya, Wei Feng dan Daren mempunyai peluang cerah untuk ke suku akhir di Paris.

Turut berangkat ke Perancis ialah Mohd Hafiz Hashim, bekas juara All-England, dan Tan Chun Seang.

Dalam acara beregu, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dijangka berdepan dengan laluan sukar kerana bertemu Korea Selatan, Ko Sung-hyun-Lee Yong Dae pada suku akhir.

Jika berjaya ke peringkat separuh akhir, mereka berkemungkinan akan bertemu pasangan Korea - Kim Ki-jung-Kim Sa-rang, yang telah menewaskan pasangan pada Terbuka Malaysia pada awal tahun ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain