suria

Lapan Atlet Antara 185 Penerima Pingat Kebesaran Terengganu

KUALA TERENGGANU: Lapan atlet negara adalah antara 185 penerima pingat kebesaran negeri Terengganu daripada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Maziah pada Khamis sempena ulang tahun ke-50 keputeraan baginda.

Atlet yang menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) itu terdiri pelumba basikal Amir Mustafa Rusli, Muhamad Adiq Husainie Othman dan Mohd Harrif Saleh; atlet memanah Nurul Syafiqah Hashim dan Khairul Anuar Mohamad; pemain bola sepak Muhamad Zubir Mohd Azmi.

Manakala dua lagi atlet merupakan atlet paralimpik negara, iaitu pemain ping pong Mohamad Azwar Abu Bakar@Ibrahim dan atlet lawan pedang, Abdul Rahman Razali.

Pada majlis itu seramai 158 orang menerima PJK, 11 orang Pingat Jasa Cemerlang (PJC) dan 16 orang menerima Pingat Lama Berjawatan (PLB).

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat pada majlis itu.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan isterinya Toh Puan Seri Norliza Mahmood serta orang-orang kenamaan negeri.

Penerima pingat kebesaran negeri Terengganu hari ini merupakan sebahagian daripada 294 penerima pingat sempena hari Keputeraan Ke-50 Sultan Mizan di mana sesi pertama penyampaian pingat berlangsung pada 30 September lepas.

Sementara itu, Abdul Rahman, 41, berkata beliau terharu kerana sumbangannya dalam bidang sukan lawan pedang dihargai Sultan Mizan sendiri.

"Inilah saat paling bahagia dalam hidup saya apabila menerima pingat kebesaran yang diberi oleh Sultan Mizan dan berazam akan mengharumkan nama Malaysia, khususnya Terengganu dalam kejohanan paralimpik akan datang," katanya.

Bagi Nurul Syafiqah, 18, pengurniaan pingat kebesaran itu adalah pembakar semangat untuk beliau melakukan yang terbaik dalam sukan memanah kerana masih muda dan berpeluang beraksi dalam kejohanan terkemuka dunia.

"Saya berjaya memenangi pingat gangsa ketika menduduki ujian kelayakan di Tehran, Iran sekali gus melayakkan saya beraksi di Sukan Olimpik 2012, namun masih banyak yang perlu saya pelajari untuk mengungguli sukan memanah ini," katanya.

Seorang kakitangan Bernama Biro Terengganu, Moksin Bakhari turut menerima pingat kebesaran PJK pada Khamis dan menyifatkan ia sebagai kenangan indah sepanjang bertugas di bahagian pentadbiran agensi berita itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain