suria

Astro, TM Dan ABN Akan Bersaing Dapatkan Hak Penyiaran Musim Baru EPL

PETALING JAYA: Persaingan untuk mendapat hak penyiaran perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk tempoh empat tahun akan datang telah bermula.

Telekom Malaysia Bhd (TM) telah menyatakan minat terhadap penyiaran EPL kepada StarBiz. Ini bermakna TM akan bersaing dengan pemilik dan penyandang hak penyiaran, Astro Malaysia Holdings Bhd.

Kedua-dua pihak dikatakan pernah bersaing dalam pembidaan pada akhir tahun 2009 untuk EPL musim 2010-2012.

Astro yang memenangi hak penyiaran pada masa itu dikhabarkan membayar sehingga RM800 juta. Harga yang dibayar dan nama-nama pembida untuk mendapatkan hak penyiaran EPL adalah sulit.

Persaingan kali ini juga mungkin melibatkan pendatang baru Asia Broadcasting Network (ABN).

Syarikat TV kabel digital yang masih belum melancarkan perkhidmatannya itu juga boleh menjadi pencabar dalam keperluan meningkatkan kandungan sukan yang disiarkan.

"Kita tidak tahu berapa banyak pihak yang menunjukkan minat setakat ini, tetapi bidaan akan menjadi menarik untuk musim depan," kata naib presiden eksekutif media baru TM, Jeremy Kuang.

"Kami sentiasa berminat dengan kandungan yang baik dan kami juga berminat dengannya. EPL adalah aset yang sangat baik yang akan membantu dalam menawarkan kandungan sukan," tambah Kuang.

Astro bagaimanapun tidak memberikan respons terhadap pertanyaan StarBiz dan pemegang saham utama ABN Datuk Kenneth Eswaran tidak dapat memberikan komen.

Minggu lepas, EPL telah menghantar e-mel kepada beberapa pembida berpotensi untuk memaklumkan kepada mereka bahawa proses bidaan untuk hak penyiaran telah ditetapkan dan bermula.

Pembida yang berpotensi dan menunjukkan minat mempunyai sehingga 12 Oktober.

Pihak yang berminat perlu mengemukakan tawaran mereka pada 8 November dan selepas itu akan diadakan 'e-auction pada November atau Disember.

Tarikh sebenar 'e-auction' akan ditentukan kemudian.

Pemenang akan diumumkan pada bulan Januari atau Februari dan pihak yang berjaya perlu membayar lima peratus daripada harga tawaran dalam tempoh 30 hari untuk mendapatkan hak.

Terdapat tiga musim EPL, yang mana musim pertama bermula pada bulan Ogos 2013 sehingga Mei 2014, dan dua musim lagi pada bulan yang sama tahun 2014/15 dan 2015/16. Terdapat sejumlah 380 perlawanan untuk musim baru dan musim semasa yang berakhir pada suku kedua tahun 2013.

Di peringkat global, penyiar membayar jumlah yang besar untuk mendapatkan kandungan bola sepak yang popular ini dan Singapore Telecommunications (SingTel) mendapat hak untuk perlawanan musim depan bagi stesen TV berbayar (mio TV), memberikannya kelebihan mendapatkan lebih ramai pelanggan berbanding pesaingnya, StarHub.

Di Thailand, pihak yang berminat bersiap sedia untuk membuat tawaran bidaan dan begitu juga penyiar dan pemain media di Vietnam.

Tiga bulan lalu, UK's BT dan BSkyB membayar £3bilion (AS $4.8 bilion) untuk hak tayangan Liga Perdana mulai tahun depan sehingga 2016, menyingkir keluar penyiar sukan ESPN, pesaing mereka yang berpangkalan di AS, menurut laporan.

Persoalan bernilai jutaan dolar sekarang ialah; berapa banyak yang akan dibayar oleh pihak di Malaysia untuk mendapatkan kandungan ini.

Malaysia mempunyai peraturan berhubung perkongsian kandungan penyiaran dan masih tidak jelas jika pihak yang menang akan berkongsi kandungan dengan penyiar lain.

Di Singapura, SingTel dikecualikan daripada perkongsian.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain