suria

Hafizh Syahrin Ungguli Sesi Latihan Kedua Moto2

SEPANG: Pelumba 'wild card' Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah melakar permulaan baik apabila mencatat masa terpantas pada sesi latihan bebas kedua pada perlumbaan MotoGP Grand Prix malaysia 2012 di Litar Antarabangsa Sepang pada Jumaat.

Beliau mencatat masa dua minit 13.493 saat berbanding 2:09.760s dengan kedudukan ke-24 yang dicatatnya pada sesi latihan pertama. "Saya amat berpuas hati dan gembira kerana tidak pernah dapat tempat pertama, menjadi tumpuan orang dan memberi saingan kepada pelumba lain lebih-lebih lagi berlumba ketika hujan.

"Ada sedikit perubahan pelarasan tadi. Masa sesi pertama, mekanik telah buat pelarasan untuk keadaan litar kering dan ketika sesi kedua dengan keadaan hujan, kita tiada masa untuk buat banyak perubahan pelarasan suspensi, cuma ada ubah sedikit sahaja dan aksi saya lebih baik pada pertengahan sesi itu," kata pelumba Petronas Raceline Malaysia itu kepada pemberita di Pusat Media, di sini.

Sesi latihan bebas kedua selama 45 minit bagi kelas Moto2 agak terjejas selepas hujan lebat di kawasan litar. Hafizh Syahrin berkata beliau menyasarkan untuk berada pada kedudukan terbaik pada perlumbaan sebenar Ahad ini.

"Saya memang suka berlumba dalam keadaan hujan, sejak menyertai Cub Prix lagi memang saya lebih yakin jika beraksi dalam keadaan hujan.

"Pelumba lain memanggil saya 'pescao' (bermaksud ikan dalam bahasa Sepanyol) sebab bila beraksi dalam hujan mereka kata saya laju," kata pelumba berusia 18 tahun itu.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu terlalu yakin dan percaya pelumba lain terutama Jordi Torres dari Sepanyol tetap menjadi penanda aras untuk terus menunjukkan satu perlumbaan yang sengit.

"Torres masih menjadi saingan hebat pada saya, saya tetap nak buat 'all out' depan dia sebab kita tahu dia pelumba hebat dalam kategori Moto2.

"Pada pusingan kelayakan esok, saya ada keyakinan untuk memberi saingan kepada pelumba luar negara dan akan terus memperbaiki catatan masa untuk lebih hampir dengan pelumba lain. Saya mengharapkan cuaca hujan pada perlumbaan sebenar Ahad ini," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain