suria

Danny Chia Akan Pamer Gaya Baru Dalam CIMB Classic 2012

KUALA LUMPUR: Mengharapkan teknik baharu yang dipelajarinya tahun ini, pemain golf profesional Malaysia Danny Chia bercadang untuk mempamerkannya pada kejohanan CIMB Classic di The Mines Resort & Golf Club bermula Khamis ini hingga 28 Oktober.

Bagaimanapun beliau yang menduduki tangga ke-13 pada kejohanan tahun lalu tidak mahu memaksa dirinya dengan harapan yang menggunung.

"Ia adalah antara kemuncak dalam karier saya tahun lalu. Saya cuba untuk tidak membiarkan ia terlalu mengganggu saya. Saya akan bermain cara baharu tahun ini," katanya kepada pemberita di kelab tersebut Selasa.

Pemain berusia 40 tahun itu berkata beliau telah mempelajari antara lain hayunan dan pukulan baharu selain mempelajari padang daripada jurulatih baharunya Steven Giulano di The Mines Golf Academy tahun ini.

"Semuanya ini memakan masa. Setiap minggu saya pergi ke sana dan cuba melakukan yang terbaik dengan apa yang saya telah pelajari.

"Jadi diharapkan saya tidak perlu menunggu terlalu lama untuk merasai hasilnya," katanya yang menjangka cabaran hebat daripada pemain lain termasuk bekas pemain nombor satu dunia Tiger Woods.

Chia dan rakannya Shaaban Husin akan bertanding dalam kejohanan yang disertai 48 pemain yang menawarkan hadiah keseluruhan US$6.1 million (kira-kira RM18.7 juta). Pemenang akan membawa pulang US$1.3 million (kira-kira RM3.9 juta).

Sementara itu dalam satu lagi majlis, pasukan negara menerima tajaan dari syarikat pakaian golf Crest Link seperti sebelum ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain