suria

Zulfahmi Duduki Tempat Kelima Sesi Ujian Kelayakan MotoGP Australia

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara Muhammad Zulfahmi Khairuddin akan memulakan saingan di barisan kedua di atas grid pada perlumbaan MotoGP Grand Prix Australia 2012 di Litar Philip Island, pada Ahad.

Pelumba pasukan AirAsia SIC Ajo Racing Team itu menunjukkan semangat juang yang tinggi dan sikap tidak mudah berputus asa untuk menduduki tempat kelima pada sesi ujian kelayakan pada Sabtu.

Untuk kesekian kalinya, Litar Phillip Island pula kelihatan terus menguji kecekalan pelumba berusia 21 tahun itu apabila dia tersangkut begitu lama pada kedudukan ke-17 dalam lembaran catatan masa kerana terpaksa menunggu lama di garaj pit berikutan masalah jenteranya, KTM berkuasa 250cc.

Enam belas minit sebelum berakhir sesi ujian kelayakan selama 40 minit itu, bendera amaran hujan pula dikibar dan pintu harapan seolah-olah tertutup baginya sehingglah 10 lagi menjelang tamat sesi itu, apabila semua penunggang termasuk Zulfahmi kembali beraksi di litar untuk memperbaiki kedudukan catatan masa kelayakan masing-masing, kata Sepang International Circuit (SIC) dalam kenyataan di sini.

Zulfahmi, yang menduduki tempat ke-27 dalam ujian masa kelayakan tahun lepas bagi perlumbaan kategori 125cc, memanfatkan peluang itu dengan memecut kenderaannya setelah diberi nafas baru oleh para mekanik pasukannya.

Berikutan itu, kedudukan pelumba kelahiran Banting, Selangor itu, melonjak daripada tempat ke-17 ke tempat kesembilan sebelum berakhir pusingan penamat di litar sepanjang 4,887 meter itu.

Seterusnya, pada pusingan penamat, pelumba, yang menduduki tempat kedua pada GP Malaysia di Sepang minggu lepas, menggunakan segala kesempatan yang ada untuk memecut kenderaannya bagi mencapai kedudukan yang sebaik mungkin.

Juara baru dunia Moto3 Sandro Cortese dari Jerman mencatat masa terpantas 1 minit 38.334 saat untuk meraih petak hadapan.

Dengan catatan masa 1:39.229s pada pusingan terakhir, Zulfahmi menduduki tempat kelima untuk memulakan perlumbaan pada Ahad bersama Danny Kent dan Miguel Olivera, yang masing-masing menduduki tempat keempat dan keenam dengan catatan masa 1:3.222s dan 1:39.262s.

Cortese, yang dinobatkan sebagai juara 125cc tahun lepas, akan memulakan perlumbaan di barisan depan bersama rakan sepasukannya Jonas Folger dan Spanish Efren Vasquez, yang masing-masing mencatat masa 1:38.727s dan 1:39.179s.

Cortese, pelumba berusia 22 tahun, disahkan sebagai juara musim ini selepas perlumbaan di Sepang setelah mengumpul 280 mata, manakala pelumba Kalex KTM, Luis Salom, dari Sepanyol, muncul naib juara dengan 207 mata. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Tenis Kejuaraan WTA

Artikel Lain