Txiki BegiristainKEHADIRAN dua tonggak utama Barcelona dalam pengurusan terbaru Manchester City iaitu Ketua Pegawai Eksekutif, Ferran Soriano dan Pengarah Bolasepak, Txiki Begiristain telah mencetuskan aura dan percakapan ramai yang juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu akan dibentuk menyerupai juara La Liga.Malah para pemerhati bolasepak Britain kini mula bercakap, pelantikan kedua-dua bekas peneraju utama Barcelona itu bakal mengundang seorang lagi lagenda Barcelona iaitu Pep Guardiola ke City. Jika ini berlaku, adalah jelas sekali pemilik City, Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan sedang berusaha membentuk City menurut kerangka dan acuan Barcelona dengan menggajikan mereka yang pernah membawa kejayaan kepada kelab Sepanyol itu.Untuk rekod, perlu dinyatakan di sini, Txiki Begiristain ketika menyandang jawatan sebagai pengarah bolasepak Barcelona, adalah orang yang bertanggungjawab mempengaruhi kelab berkenaan melantik Guardiola sebagai pengurus yang baru menggantikan Frank Rijkaard pada tahun 2008.Lembaga Pengarah Barcelona pada ketika itu mahu memilih Jose Mourinho tetapi Txiki telah menggariskan tujuh kerangka pelan jangka panjang yang mana salah satunya ialah melantik Guardiola sebagai pengurus.Ketika itu Guardiola tidak memiliki cv yang menarik melainkan pernah menjuarai Piala Eropah dan La Liga bersama Barcelona sebagai pemain dan memimpin skuad remaja kelab itu.Tetapi ternyata, bacaan Txiki tidak silap. Ketika dia mengambil alih peranan sebagai pengarah bolasepak pada tahun 2003, Barcelona melalui empat musim tanpa sebarang piala.Bagaimanapun selepas tujuh tahun dan Guardiola sebagai pengurus, mereka telah memenangi 12 trofi - empat kejuaraan liga, dua kejuaraan Eropah, Piala Coupa de la Ray dan juga buat pertama kalinya kejuaraan dunia.Txiki Begiristain, 48, sendiri memiliki rekod yang luar biasa. Sebagai pemain dia adalah pemenang Piala Eropah bersama Barcelona dan dua kali juga sebagai pemenang Piala Eropah atas kapasiti pengarah bolasepak.Joan Laporta, pengerusi Barcelona ketika itu pernah menyifatkan yang keputusannya melantik Txiki Begiristain sebagai pengarah bolasepak adalah keputusan yang terbaik yang pernah dilakukannya.Ketika kelab itu memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan Rijkaard, Mourinho yang pernah berkhidmat sebagai penolong pengurus Barcelona di bawah Bobby Robson (kini mendiang) telah memohon jawatan berkenaan.Txiki Begiristain telah membuat satu perjudian yang sangat besar dengan mengesyorkan nama Guardiola kepada Laporta.Pada saat itu Mourinho telah pun mengadakan rundingan dengan Naib Presiden Barcelona, Marc Ingla dan menggariskan pelan rancangannya sebagai pengurus. Ingla sangat terpesona dengan perancangan Mourinho itu.Tetapi Txiki Begiristain yang turut sama dalam rundingan itu sebagai wakil peribadi Laporta kemudiannya telah menyakinkan semua pihak bahawa Guardiola adalah orang yang tepat untuk menggantikan Rijkaard bukannya Mourinho.Malah dia menegaskan bahawa sementara Mourinho mampu membawa piala kembali ke lokar Barcelona tetapi Guardiola mampu membawa era keemasan kembali ke kelab berkenaan.Dan telahannya tepat. Tahun pertama Guardiola sebagai pengurus, dalam enam piala yang dipertandingkan, pengurus baru itu menang kesemuanya - dengan gaya permainan yang berseni dan menghiburkan penonton termasuklah menewaskan Real Madrid 6-2.Dan ketika Barcelona menewaskan musuh tradisi mereka dalam perlawanan bersejarah itu, enam daripada 11 pemain yang berada di atas padang adalah terdiri daripada mereka yang dibeli oleh Txiki Begiristain selaku pengarah bolasepak.Selaku pengarah bolasepak Txiki Begiristain tidak perlu membuktikan apa-apa lagi sekaligus meletakkan dirinya sebagai seorang lagenda pengurusan teknikal bolasepak Eropah.Pada tahun 2010, Txiki Begiristain memutuskan untuk meninggalkan kelab kesayangannya itu selepas tempoh perkhidmatan Laporta berakhir.Tidak lama selepas itu iaitu tahun lalu, giliran Pep Guardiola pula untuk mengundurkan diri dengan alasan keletihan dan mahu berehat selama setahun daripada sebarang aktiviti kejurulatihan.Ada yang mengatakan Guardiola berasa dirinya telah dipinggirkan ketika Txiki Begiristain membuat keputusan untuk meninggalkan Barcelona sehingga tersebar khabar angin hubungannya dengan Txiki menjadi masam.Seandainya Roberto Mancini berjaya mengekalkan kejuaraan liga dan mencapai kejayaan berganda melalui Liga Juara-Juara Eropah, mungkin keputusan untuk memujuk Guardiola ke City tidak akan berlaku.Tetapi, jika Txiki Begiristain sekali lagi menjadi penentu masa depan City, jangan terkejut sekiranya dia sekali lagi berganding bahu dengan Guardiola pada pentas yang berlainan tetapi dengan mandat yang sama seperti masa lalu - menjadi juara dengan penuh bergaya.