suria

Zulfahmi Hadapi Grand Prix Valencia Tanpa Tekanan

KUALA LUMPUR: Penunggang Moto3 negara Muhammad Zulfahmi Khairuddin menghadapi pusingan terakhir Kejohanan Moto3 Dunia 2012 di Grand Prix Valencia, Sepanyol hujung minggu ini tanpa sebarang tekanan.

Penunggang berusia 21 tahun dari pasukan AirAsia-SIC-Ajo itu berkata beliau bagaimanapun akan memberi persembahan yang terbaik pada perlumbaan tersebut.

"Ketika kami mulakan musim ini, tidak ada disebut pasal menaiki podium atau mengumpul 100 mata, selain beri yang terbaik, konsisten dan cuba menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 teratas, namun prestasi kami melangkaui jangkaan dan ini sangat baik bagi saya," katanya dalam kenyataan, di sini Rabu.

Kejuaraan Moto3 dunia sudah menjadi milik pelumba Jerman Sandro Cortese yang disahkan selepas beliau memenangi Grand Prix Malaysia. Cortese memintas Muhammad Zulfahmi pada selekoh akhir sekali gus menafikan kejayaan Grand Prix sulung negara.

Muhammad Zulfahmi yang mengumpul 112 mata selepas kejayaan di tempat kedua di tanah air, gagal menambah mata di Grand Prix Australia pada 28 Oktober lepas setelah jenteranya mengalami masalah mekanikal.

Beliau kini berada di kedudukan kelapan kejohanan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit, Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali berkata perjanjian bagi membolehkan Muhammad Zulfahmi menyertai pasukan Red Bull KTM Racing musim depan hampir dimuktamadkan dan SIC akan menyediakan peruntukan untuk pelumba lain bersaing dalam Kejohanan MotoGP Dunia.

"Akan ada pelumba 'wildcard' Malaysia pada perlumbaan Moto3 di Grand Prix Malaysia tahun depan dan sekumpulan pelumba akan diambil untuk latihan dan pemilihan di Eropah," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain