suria

Apa Jua Jawapan Kepada Kemelut QPR Perlu Ditentukan Minggu Ini Sebelum Mengadap Tony Fernandes

Mark Hughes
 Mark Hughes
Mark Hughes

PENGURUS QPR, Mark Hughes kini berada dalam situasi krisis dan nampaknya bekas penyerang Manchester United dan Barcelona itu tidak tahu apa lagi yang harus dilakukannya untuk mengangkat pasukannya dari tangga tercorot Liga Perdana Inggeris.

Sabtu lalu, pasukannya tewas 1-3 di tangan Southampton. Itu juga bermakna QPR yang dimiliki oleh taikun Malaysia, Tan Sri Tony Fernandes masih belum memperolehi barang satu kemenangan sekali pun sejak musim baru bermula Ogos lalu.

Hughes yang sebelum ini mendapat kepercayaan seratus peratus Fernandes perlu muncul dengan kerangka strategi baru bagi menyakinkan lembaga pengarah kelab yang khabarnya akan duduk bersidang minggu ini bagi menentukan hala tuju kelab itu musim ini.

Satu-satunya perkara yang perlu diputuskan oleh lembaga pengarah QPR ialah sama ada untuk terus kekal dengan Hughes atau mendengar suara para peminat setiap kelab itu yang kini mahukan pengurus mereka dipecat.

Mengekalkan Hughes bermakna kehilangan sokongan penonton dan peminat tegar. Memecat Hughes pula membawa satu lagi implikasi serius iaitu kos pampasan yang perlu dibayar untuknya dan juga meletakkan kedudukan kelab dalam situasi terumbang ambing tanpa nakhoda.

Jika Hughes dipecat, dia akan menjadi pengurus pertama musim ini yang menjadi mangsa tekanan kuat Liga Perdana Inggeris.

Pada masa yang sama, pihak lembaga juga harus mengambil kira hakikat bahawa bukanlah mudah untuk mencari pengurus yang baru pada awal musim.

Hendak mencari pengurus baru adalah satu hal tetapi untuk mendapatkan pengurus yang sesuai dengan falsafah kelab adalah satu hal yang lain pula.

Dalam pada itu, cara pasukan QPR ditewaskan dan kedudukan mereka yang tercorot dalam liga serba sedikit turut menjejaskan keyakinan Hughes ke atas sesetengah pemainnya khususnya mereka yang baru dibeli pada awal musim.

Liga musim ini baru sahaja menempuhi 12 perlawanan tetapi Hughes terpaksa menegaskan kepada para pemainnya, jika mereka tidak berbuat sesuatu, mereka mungkin akan tersingkir dari liga.

"Semua orang telah memberikan apa yang mereka mampu untuk memenangi setiap perlawanan tetapi mereka masih lagi gagal berfungsi sebagai sebuah pasukan. Ini adalah satu enigma. Ia menimbulkan seribu tanda tanya," tegas Hughes lagi.

Tetapi apa jua jawapan dan perancangan untuk memulihkan keadaan perlu ditentukan minggu ini sebelum Hughes mengadap Fernandes, Amit Bhatia dan lain-lain anggota lembaga untuk menentukan masa depan kelab dari London itu.

Artikel Lain