KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei dijangka menghadapi laluan mudah sehingga ke peringkat separuh akhir pada Kejohanan Terbuka Hong Kong Yonex Sunrise bermula hari ini (Selasa) hingga Ahad ini di Kowloon, Hong Kong.Pemain berusia 30 tahun itu dijadual bertemu Boonsak Ponsana dari Thailand pada pusingan pertama sebelum berdepan pemain seperti Wang Zhengming dari China, Hao Hsu Jen dari Taiwan dan Tien Minh Nguyen dari Vietnam pada pusingan kedua dan suku akhir. Cabaran sebenar Chong Wei bermula sekiranya beliau layak ke separuh akhir apabila berkemungkinan berdepan sama ada pemain sedang meningkat naik, Du Pengyu dari China, Kenichi Tago dari Jepun atau jaguh Indonesia Taufik Hidayat.Pemain pilihan yang turut beraksi termasuk Chen Long dan Chen Jin dari China, Sho Sasaki dari Jepun dan pemain Denmark Jan O Jorgensen yang diundi dalam kumpulan lain.Setelah tewas di tangan Lin Dan dari China pada separuh akhir tahun lepas, ketiadaan seteru utamanya itu kali ini pasti memberi peluang kepada Chong Wei untuk menebus kekalahan.Turun sebagai pemain pilihan pertama, beliau turut dilihat berpotensi merangkul kejuaraan bagi kali ketiga setelah berjaya melakukannya pada 2010 dan 2009.Kejohanan Terbuka Hong Kong juga merupakan pertandingan sulung buat pemegang pingat perak Olimpik itu selepas mendirikan rumah tangga dengan bekas pemain badminton negara Wong Mew Choo dua minggu lalu.Selain itu, Chong Wei akan mengetuai barisan pemain negara yang turut mengambil bahagian, antaranya perseorangan lelaki Liew Daren dan Chong Wei Feng, beregu lelaki Koo Kien Keat/Tan Boon Heong dan beregu campuran Chan Peng Soon/Goh Liu Ying.Kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah US$350,000 (RM1.07 juta) itu dengan pusingan kelayakan manakala pusingan utama dijadualkan Rabu ini.Pemain perseorangan negara yang akan bertanding bagi merebut empat tempat di pusingan utama ialah Muhammad Arif Abdul Latif, Misbun Ramdan Mohmed Misbun, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Zulfadli Zulkifli.- BERNAMA