suria

Torres Punca Pemecatan Di Matteo & Pelantikan Rafa

Fernando Torres
Fernando Torres
Fernando Torres

ROBERTO DI MATTEO telah diberi amaran oleh eksekutif-eksekutif kanan Chelsea bahawa dia akan berhadapan dengan pemecatan jika menguggurkan penyerang Sepanyol bernilai £50 juta, Fernando Torres dalam perlawanan menentang Juventus Selasa lalu.

Akhbar tabloid Britain, The Sun melaporkan pihak pengurusan Chelsea sudah dapat menghidu yang Di Matteo sedang menimbang untuk menguggurkan pemain kesayangan Roman Abramovich itu dan meletakkan Edin Hazard sebagai penyerang tunggal.

Lapor The Sun, mereka dengan segera menasihati pengurus asal Itali itu supaya jangan.

Tetapi walaupun Di Matteo menyedari risiko yang menantinya jika kalah, dia tetap dengan keputusannya - menguggurkan Torres dengan alasan memperlihatkan aksi yang lembab ketika tewas di tangan WBA dalam aksi liga pada hujung minggu lalu.

The Sun melaporkan keputusan untuk memecat Di Matteo dibuat pada jam 4 pagi.

Abramovich mengambil peluang kekalahan Chelsea 0-3 di tangan Juventus yang sekaligus menyaksikan penyingkiran mereka dari persaingan Juara Liga-Liga Eropah sebagai alasan terbaik untuk memecat Di Matteo.

Kekalahan itu juga mencatat sejarah sebagai penyandang juara Piala Eropah yang pertama tersingkir di peringkat kumpulan.

Di Matteo dan pasukannya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Gatwick pada jam 2.30 pagi Rabu waktu London, lalu terus dibawa ke Pusat Latihan Chelsea di Cobham.

Di sana, Pengerusi Chelsea Bruce Buck dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ron Gourlay, telah sedia menunggu mereka.

Buck dan Gourlay terus mengadakan pertemuan dengan Di Matteo di pejabatnya di situ.

Mereka dengan tegas dan segera menyatakan yang pemilik kelab tidak berpuashati dengan pencapaian pasukan dan tidak dapat menerima kekalahan demi kekalahan pada peringkat ini.

Mereka kemudiannya memaklumkan kepada Di Matteo yang Lembaga Pengarah telah memutuskan untuk memecatnya dengan serta merta.

Menjelang jam 4 pagi, Di Matteo selesai mengemas meja dan pejabatnya dan mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan yang hanya dibimbingnya Jun lalu.

Dalam pada itu pelantikan Rafa Benitez sebagai pengurus sementara Chelsea juga ada kena mengena dengan pengaruh Torres ke atas Abramovich.

Torres dikatakan telah memaklumkan kepada Abramovich yang Benitez lah yang bertanggungjawab menjadikannya seorang penyerang yang berbisa dan digeruni di Eropah ketika di Liverpool dulu.

Benitez bertanggungjawab membawa Torres ke Liverpool dari Atletico Madrid pada tahun 2007 sebelum dia dipecat.

Kini Torres yang menerima gaji sebanyak £180,000 seminggu berharap Benitez akan dapat membantunya kembali menjadi penyerang berbisa sekali lagi setelah mereka digandingkan buat kali kedua.

Sejak menyertai Chelsea, Torres hanya mampu menjaringkan 19 gol dari 87 perlawanan sedangkan ketika di bawah kendalian Benitez di Liverpool, dia telah menjaringkan 65 gol daripada 102 perlawanan.

Hakikat bahawa Abramovich hanya bersedia melantik Benitez sebagai pengurus interim sehingga selesai musim ini dengan jelas dan nyata sekali mengambarkan yang dia memang mengharapkan bekas pengurus Barcelona, Pep Guardiola akan menerima pelawaannya untuk datang ke Chelsea musim depan.

Guardiola kini sedang mengambil cuti rehat selama semusim daripada sebarang aktiviti dan pengurusan kelab dan hanya bersedia untuk berunding dengan mana-mana pihak musim depan.

Sebelum Di Matteo dilantik Jun lalu, Abramovich telah berusaha memujuk Guardiola untuk kembali dari persaraannya dengan tawaran yang lumayan tetapi pengurus muda itu enggan berganjak dari keputusan awalnya untuk berehat panjang.

Usaha itu dilakukan sekali lagi bulan lalu tetapi masih sia-sia.

NOTA: Roberto Di Matteo bukan satu-satunya pengurus Chelsea yang hanya mampu bertahan dalam kerusi itu untuk satu tempoh waktu yang singkat iaitu 262 hari sahaja.

Sebelum ini, Luiz Felipe Scolari dipecat hanya selepas 223 hari menjadi pengurus; Avram Grant (247 hari) dan André Villas-Boas (256 hari).

Artikel Lain