suria

Azam Tahun Baru: Apek Mahu Pertahan Kejayaan Trebel Kelantan

KOTA BAHARU: Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat berazam mahu menjadikan tahun 2013 sebagai tahun terbaik buat dirinya dengan membantu pasukan 'The Red Warriors' mempertahankan kejayaan trebel yang dirangkul pada musim lepas.

Beliau yang mesra disapa 'Apek' berkata selain berusaha mempertahankan kejuaraan tiga piala tersebut, beliau juga berazam untuk merebut tempat sebagai penjaga gol nombor satu negara pada tahun ini.

"Saya sedar ia bukan satu tugas yang mudah. Bagaimanapun saya akan berusaha bersungguh-sungguh dengan memberikan aksi terbaik pada setiap perlawanan bagi merealisasikan kedua-dua azam tersebut. "Saya juga bertekad untuk membantu skuad Harimau Malaya untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia yang saingannya dijangka bermula pada Februari ini," katanya kepada pemberita pada majlis kenduri perkahwinannya di rumahnya di Kampung Cherang, di sini, Sabtu.

Majlis kenduri tersebut turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa.

Pada 28 Disember lepas, Khairul Fahmi, 23, menamatkan zaman bujangnya dengan gadis pilihannya yang merupakan seorang model dan usahawan, Nur Eilunie Natasha Jaafar, 21, atau Leuniey.

Kedua-dua mempelai tersebut dinikahkan oleh Imam Masjid Pasir Pekan, Abdul Ghani Abdul Mutalib dengan disaksikan oleh anggota keluarga terdekat termasuk ibu bapa kedua-dua pasangan di rumah keluarga Leuniey di Tumpat. -BERNAMA

Artikel Lain