KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei dan lima pemain negara yang lain meneruskan cabaran pada pusingan kedua Kejohanan Super Series Terbuka Korea selepas mencatatkan kemenangan ke atas lawan masing-masing pada pusingan awal di Seoul, pada Rabu.Chong Wei, yang merupakan juara bertahan, bagaimanapun diberikan tentangan sengit oleh pemain muda China, Wang Zhengming sebelum mencatatkan kemenangan 17-21, 21-14 dan 21-16 dalam perlawanan yang berlangsung lebih sejam. Pemain pelapis kebangsaan, Chong Wei Feng turut menempah tiket ke pusingan kedua selepas mengalahkan pemain dari Sweden, Henri Hurskainen 24-22 dan 21-16 dalam masa 40 minit.Beregu utama lelaki negara, Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong yang diletakkan selaku pilihan kedua kejohanan turut mara selepas mudah menundukkan beregu tuan rumah Kang Ji Wook dan Lee Sang Joon 21-13, 21-17.Goh Wei Shem dan Lim Khim Wah meneruskan kecemerlangan beregu lelaki negara selepas mereka menewaskan seorang lagi pasangan tuan rumah, Cho Gun Woo dan Kim Dae Eun dengan kemenangan 15-21, 21-13 dan 21-17.Beregu pecahan, Gan Teik Chai dan Ong Soon Hock menundukkan Kim Jae Hwan dan Kim Jung Ho juga dari Korea dengan kemenangan 21-10 24-22.Langkah cemerlang mereka diteruskan oleh beregu campuran utama negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying yang mudah menewaskan pasangan Jerman, Oliver Roth dan Johanna Goliszewski, 21-15 dan 21-12.Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi empat lagi pemain negara selepas mereka kalah pada pusingan pertama.Liu Ying yang bergandingan bersama Lim Yin Loo dalam beregu wanita tunduk kepada wakil Indonesia, Aprilsasi Putri Lejarsar Variella dan Vita Marissa 9-21 dan 20-22.Yin Loo yang beraksi bersama Ong Jian Guo dalam beregu campuran turut kecundang kepada gandingan dari England, Chris Adcock dan Gabrielle White, 18-21 dan 12-21.Beregu lelaki negara, Mohd Zakry Abdul Latiff dan Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari yang kini bernaung di bawah Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC) turut tewas kepada pasangan dari Thailand, Patiphat Chalardchaleam dan Nipitphon Puangpuapech, 14-21 dan 18-21.Hoon Thien How dan Tan Wee Kiong tewas 12-21, 22-20 dan 14-21 kepada pilihan keempat dari Jepun, Hiroyuki Endo dan Kenichi Hayakawa dalam acara beregu lelaki. -BERNAMA