suria

Darul Takzim FC Ketuai Cabaran 14 Pasukan Ke Pusingan Kedua Piala FA

KUALA LUMPUR: Pasukan kelab berstatus bintang Johor Darul Takzim (JDT) FC mengetuai senarai 14 pasukan yang berjaya melayakkan diri ke pusingan kedua Piala FA selepas perlawanan pusingan pertama pada Jumaat.

JDT FC, yang dibimbing oleh lagenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad, mara selepas menundukkan Perak 1-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin menerusi jaringan pemain pertahanan, Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak pada minit ke-59.

Pada pusingan kedua 26 Februari ini, skuad Harimau Selatan itu dijadualkan bertemu Kedah yang membelasah wakil Negeri Sembilan, Betaria FC 3-0 di Stadium Alor Setar, Pendahulu Liga Super, Pahang turut mara ke pusingan kedua setelah mengalahkan Johor 3-2 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Bharu.

Dua gol pasukan Johor dijaringkan oleh Muriel Juan Orlando pada minit ke-10 dan 49 manakala tiga gol skuad Tok Gajah disumbangkan oleh penyerang import dari Maghribi, Mohamed Borji pada minit ke-13 dan dua gol Mohd Fauzi Rozlan minit ke-45 dan 74.

Pahang akan menentang Tentera Darat FC pada pusingan kedua selepas pasukan yang bersaing dalam Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu menumpaskan wakil kelab dari Pahang, Kuantan Port/Shahzan Muda dengan kemenangan 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.

Juara lima kali Piala FA, Selangor mencatatkan kemenangan tipis 3-2 menerusi sepakan penalti ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan sengit yang berlangsung di Stadium Shah Alam.

Terdahulu, kedua-dua pasukan terikat 2-2 dengan ATM terlebih dahulu mendahului 2-0 menerusi penyerang import, Marlon Alex James dan Mohd Affize Faisal Mamat masing-masing pada minit ketujuh dan ke-25 sebelum Selangor menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mohd Afiq Azmi pada minit ke-53 dan 57.

Skuad Gergasi Merah akan membuat perhitungan dengan Sabah pada pusingan kedua selepas skuad Badak menjinakkan Felda United 2-1 dalam satu lagi perlawanan pusingan awal.

Dua gol Sabah dijaringkan oleh penyerang import, Koh Traore pada minit ke-14 dan Jufrey Amopor pada minit ke-73 manakala gol saguhati skuad The Settlers dihasilkan oleh Mohammed Ghaddar Mahmoud pada minit ke-65.

Turut mara ke pusingan kedua ialah Terengganu yang mencatatkan kemenangan selesa 3-1 ke atas wakil kelab Lembah Klang, SPA Putrajaya FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Tiga gol skuad Penyu dijaringkan oleh Ismail Faruqi pada minit ke-30 dan dua gol dari Jean Emmanuel Effa Owona pada minit ke-69 dan 80 manakala gol tunggal pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Raja Mohamad Hafillah Raja Mamat pada minit-minit akhir permainan.

Terengganu akan menentang Pulau Pinang di pusingan kedua selepas pasukan Harimau Kumbang mengejutkan pendahulu Liga Perdana, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kemenangan 2-1 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Kaye Edrisar membuka tirai jaringan untuk PDRM seawal minit ketujuh sebelum Mohd Syafuan Riduwan muncul wira skuad Harimau Kumbang dengan dua gol masing-masing pada minit ke-50 dan 90.

Keadaan hujan lebat di sekitar Lembah Klang memaksa dua perlawanan melibatkan perlawanan UiTM FC menentang Negeri Sembilan di Stadium UiTM, Shah Alam dan Selangor PKNS menentang Lions XII di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya ditunda pada esok.

Dua finalist Piala FA musim lepas iaitu Kelantan dan Sime Darby FC tidak beraksi pada pusingan pertama kerana mendapat 'bye'. BERNAMA

Artikel Lain