KUALA LUMPUR: Kempen Malaysia dalam acara trek Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di New Delhi, India, ditutup cemerlang pada Isnin apabila pelumba trek berpengalaman, Josiah Ng dan pelumba pelapis, Muhammad Firdaus Mohd Zonis masing-masing menyumbang satu pingat emas.Acara keirin yang merupakan acara trek terakhir dipertandingkan di Velodrom Kompleks Sukan Indira Ghandi menyaksikan Josiah mengungguli acara keirin elit lelaki manakala Muhammad Firdaus dalam kategori junior. Velodrom itu merupakan venue yang sama di mana Josiah meraih pingat emas acara yang sama dalam Sukan Komanwel 2010.Terdahulu , Josiah turut menghadiahkan pingat emas buat Malaysia melalui acara 200 meter pecut individu."Saya dah lama tunggu detik ini. Menang dua pingat emas di ACC...oh sangat indah," kata Josiah dipetik dalam kenyataan yang dikeluarkan Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM).Sementara rakan senegara, Mohd Azizulhasni Awang dan Mohamad Edrus Md Yunos, masing-masing menamatkan saingan di tempat ketujuh dan kelapan dalam acara keirin elit lelaki itu.Pingat perak acara keirin elit lelaki dimenangi Mahmoud Parash dari Iran dan gangsa menjadi milik Jun Won Gu dari Korea Selatan.Sementara Muhammad Firdaus melakar kejayaan tersendiri pada ACC kali ini dengan meraih tiga pingat emas secara keseluruhan.Pelumba berusia 17 tahun itu menambah koleksi pungutan pingat emas dengan kemenangan terbaru itu dalam ACC selepas meraih pingat emas acara 200m pecut kategori remaja lelaki dan pada Khamis lepas melalui acara 1km Ujian Masa.Kejohanan Berbasikal Asia 2013 akan diteruskan dengan acara lebuh raya yang akan bermula Rabu ini.- BERNAMA