suria

14 Atlet Paralimpik Memanah Sertai Kejohanan Ranking Dunia di Bangkok

KUALA LUMPUR: Cawangan Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN) akan menghantar seramai 14 atlet memanah paralimpik negara bagi menyertai Kejohanan Memanah Ranking Dunia di Bangkok, Thailand dari 17 hingga 23 Mac ini.

"Ini adalah jumlah atlet teramai yang pernah kita hantar untuk mana-mana kejohanan memanah.

"Tujuan utama kita menghantar jumlah atlet yang besar ini adalah untuk menentukan klasifikasi atlet kita dan membolehkan mereka mengumpul mata ranking dunia," kata pengarahnya Mohd Safrushahar Yusoff kepada Bernama, pada Jumaat.

Menurut beliau, penyertaan pada kejohanan itu penting bagi atlet memanah paralimpik negara untuk menentukan klasifikasi mereka mengikut kecacatan, di samping memberi pendedahan awal kepada atlet baharu untuk bertanding di peringkat antarabangsa.

"Memandangkan kebanyakan mereka adalah atlet baharu dan ada di antara atlet yang sedia ada perlu melakukan klasifikasi semula. "Ia sesuatu yang penting bagi kita untuk tahu klasifikasi mereka bagi memudahkan MSN mengatur program latihan dan mengenal pasti kejohanan yang bersesuaian," katanya.

Mengenai jumlah atlet yang ramai berbanding tahun sebelum ini, Mohd Safrushahar berkata kebanyakan atlet baharu itu dikenal pasti daripada temasya Paralimpiad Malaysia di Kuantan, Pahang tahun lepas.

Daripada 14 atlet yang tersenarai, empat daripadanya merupakan atlet elit memanah paralimpik.

"Kebanyakan atlet baharu ini menjalani latihan di Kedah, Terengganu dan Johor di bawah jurulatih yang dilantik MSN. Kita perlu mempunyai jumlah atlet yang ramai khususnya dalam persediaan menghadapi Sukan Para Asia 2014 dan Sukan Paralimpik Rio 2016," katanya.

Untuk Kejohanan Memanah Ranking Dunia itu, skuad memanah paralimpik negara akan diketuai pemenang pingat perak Sukan Paralimpik London 2012, Hasihin Sanawi. -BERNAMA

Artikel Lain