suria

Brawn Mahu Pemandu Capai Antara Enam Slot Terbaik Pada Sesi Kelayakan

KUALA LUMPUR: Pasukan AMG Mercedes Petronas F1 sudah bersedia untuk mengegarkan Litar Sepang pada perlumbaan F1 Grand Prix Malaysia, Ahad ini, kata prinsipal pasukan Ross Brawn.

"Kereta perlumbaan telah menunjukkan beberapa petanda menggalakkan dan kini hanya perlu menunjukkan potensi sebenar kenderaan ini setelah tidak melakukannya di Melbourne.

"Andainya kita lalui perlumbaan hujung minggu seperti biasa, saya akan amat kecewa sekiranya tidak bersaing untuk kedudukan enam pelumba terbaik dalam sesi kelayakan," katanya pada sidang media di Dewan Filharmonik Petronas, di sini, Rabu.

Brawn berkata pasukannya mengejar rapat pasukan Red Bull dan Ferrari dan adalah sukar untuk membuat penilaian pada peringkat awal dan memerlukan beberapa pusingan.

Bagaimanapun, kami perlu merapatkan jurang dan sedang berusaha ke arah itu, katanya.

Sementara itu, bekas juara dunia F1 Lewis Hamilton menafikan bahawa berasa lega selepas meninggalkan pasukannya lamanya, McLaren untuk menyertai Mercedes pada musim ini.

Pelumba Britain, yang menamatkan saingan di tempat kelima pada GP Australia di Melbourne, Ahad lepas, berkata pencapaian itu telah mengesahkan keputusannya.

"Saya tidak menoleh ke belakang (McLaren) dan saya gembira dengan pendirian saya. Saya tidak kisah apa yang dikatakan oleh orang lain kerana saya selesa dengan diri saya.

"Saya masih ada banyak kerja dengan pasukan baharu ini. Saya melihat persembahan kami dan sedar bagaimana baiknya pilihan saya," kata Hamilton.

"Pasukan ini telah melakukan beberapa langkah terbaik dan harap kenderaan ini mampu kekal kompetitif sepanjang musim ini dan kami akan terus berusaha membangunkan jentera kami," katanya.

Bagi seorang lagi pelumba, Nico Rosberg, beliau berharap untuk menampilkan prestasi lebih baik di Sepang.

"Minggu lepas, kami berada dala kedudukan baik pada pusingan kelayakan dan harap dapat mencapai lebih baik di sini. Kali ini cuaca lebih panas berbanding di Melbourne...jadi ia menjadi medan ujian terbaik untuk melihat prestasi kereta dalam persekitaran berbeza," katanya.

"LItar Sepang membawa kenangan manis kepada saya kerana saya mencapai kemenangan podium pertama untuk Mercedes di sini pada awal musim 2010," katanya. BERNAMA

Artikel Lain