KUALA LUMPUR: Kira-kira 5,000 pegawai dan atlet bakal menyertai edisi ke-16 Sukan Malaysia (Sukma) di sekitar Lembah Klang dari 28 Jun hingga 7 Julai ini.Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong berkata sebanyak 14 negeri telah mengesahkan penyertaan mereka selepas tarikh tutup pendaftaran kontinjen pada 30 April lalu. "Kami gembira kerana beberapa acara sukan baharu seperti Muay Thai, woodball dan bola sepak pantai yang diperkenalkan pada Sukma kali ini mendapat respons positif selepas sekurang-kurangnya lima kontinjen negeri berminat untuk menyertai acara sukan ini," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran laman web rasmi dan detik 50 hari Sukma iaitu www.sukanmalaysia.nsc.gov.my di sini Khamis.Zolkples berkata MSN melakukan persediaan rapi sejak tahun lepas bagi memastikan temasya sukan itu berjalan lancar termasuk membuka bilik sekretariat Sukma di Lobi Casa 1 MSN selain memperkenal Sistem Mesyuarat Pendaftaran PraDelegasi."Menerusi sistem berkenaan yang akan beroperasi dari 3 hingga 6 Jun ini, ia dapat mengelakkan masalah pertindihan pendaftaran para atlet."Kita juga turut menyediakan Pusat Media Utama yang terletak di Dewan Komanwel MSN di sini sebaik sahaja temasya sukan itu bermula bagi memudahkan pihak media menjalankan tugas mereka sebaik mungkin," katanya.Beliau memberitahu bahawa kos penganjuran Sukma tahun ini sama seperti edisi lepas iaitu tidak melebihi RM9 juta.Mengenai laman web Sukma, Zolkples berkata ia satu medium penting bagi MS Nmenyalurkan maklumat terkini berkenaan temasya sukan tahunan itu kepada masyarakat setempat terutamanya peminat sukan negara.Sejumlah 20 jenis sukan dipertandingkan pada Sukma kali ini termasuk akuatik (polo air dan renang berirama), bina badan, bola baling, bola jaring, bola keranjang, bola sepak, bola tampar (pantai dan dewan), ekuestrian, judo, kabaddi, kriket, gimnastik dan lawan pedang.Sukma 2013 akan membuka tirai dengan acara sofbol pada 25 Jun di Padang Universiti Putra Malaysia, Serdang sebelum upacara perasmian kejohanan pada 28 Jun di Stadium Mini MSN, Bukit Jalil manakala majlis penutupan pada 7 Julai di venue sama. - BERNAMA