KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menentang Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) pada final Piala TNB 2013 selepas menewaskan lawan masing-masing pada perlawanan timbal balik separuh akhir di sini Ahad malam.TNB melangkah ke peringkat akhir dengan agregat 8-4 selepas seri 2-2 dengan Maybank pada separuh akhir kedua manakala KLHC berpesta gol selepas membenam Sapura 8-0 untuk melangkah selesa dengan agregat 11-1. Perlawanan akhir Piala TNB 2013 akan diadakan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini pada 19 Mei ini.Pada saingan separuh akhir kedua, TNB, yang juga bekas juara lima kali, membuka tirai jaringan menerusi pemain kebangsaan Faizal Saari pada minit ke-17 dan Faiz Helmi Jali pada minit ke-58 Gol Maybank pula diperolehi menerusi pemain import dari Pakistan, Shakeel Abbasi pada minit ke-51 dan Mohd Zulhairi Hashim pada minit ke-67."Saya bersyukur kerana pasukan yang pertama kali saya bimbing ini berjaya ke final. Kita mempunyai enam hari sebelum perlawanan akhir dan saya akan cuba memperbaiki kesilapan yang ada dan mengatur strategi baharu," kata jurulatih TNB, Nor Azlan Bakar.Sementara itu, juara bertahan KLHC memulakan perlawanan dengan agresif apabila membuka tirai jaringan seawal minit kelapan menerusi Akhtar Ali sebelum Chua Boon Huat menambah jaringan pada minit ke-14, diikuti Muhammad Bhutta (minit ke-20) dan Kevinder Singh pada minit ke-26.Pada babak kedua, KLHC terus menambah derita pasukan Sapura dengan Muhammad Imran melakukan dua jaringan pada minit ke-40 dan 45, Kevinder sekali menghasilkan gol peribadi kedua pada minit ke-56 sebelum Nabil Fiqri Mohd Noor menutup tirai jaringan pada minit ke-66.Jurulatih KLHC, Muhammad Dharmaraj Abdullah berkata anak buahnya perlu mengekalkan momentum pada final nanti. BERNAMA