suria

Sime Darby Kekal Penguasaan

KUALA LUMPUR: Sime Darby mengekalkan kedudukan di tangga teratas Liga Perdana selepas mencatat kemenangan ke atas pasukan tercorot, Betaria FC 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Isnin.

Kemenangan itu membolehkan mereka mengukuhkan cengkaman di persada liga dengan mengutip 41 mata secara keseluruhan selepas 17 perlawanan dengan kelebihan satu mata di hadapan pencabar terdekat, Sarawak.

Pemain importnya, Karlo Primorac menjadi wira pasukan Sime Darby apabila menyumbang dua gol pada minit ke-55 dan minit ke-81.

Sarawak terus mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Gol Sarawak dijaringkan oleh Zamri Morshidi pada minit ke-49, Bobby Gonzales (minit ke-77) dan Muamer Salibasic (minit ke-79), manakala gol sagu hati PDRM disumbangkan Kaye Edrisar pada minit ke-49.

Sabah turut mengutip tiga mata penuh apabila mengalahkan UiTM FC 3-1 di Stadium Likas, Sabah.

Tiga gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Mohd Fazilidin Khalid seawal minit pertama, Shahruddin Yakup (minit ke-25) dan Abdelfatah Safi (minit ke-45), manakala gol sagu hati pasukan pelawat disumbangkan oleh Afiff Ashraf pada minit ke-77.

Di Stadium UiTM, Shah Alam, Pasukan Kuala Lumpur mengalahkan SPA Putrajaya FC 3-1.

Gol bagi Kuala Lumpur dijaringkan oleh Kalle Sone pada minit ke-11, Munir Amran minit ke-89 dan S.Sivaraj pada masa tambahan, manakala gol SPA Putrajaya FC disumbangkan oleh Amri Fazal Mat Nor pada minit ke-54.

Kedah pula menewaskan Perlis 1-0 di Stadium Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah.

Johor terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri setelah terikat 1-1 ke atas Pos Malaysia FC di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain