suria

Sapura Tewaskan Maybank 2-1 Untuk Raih Tempat Ketiga Piala TNB 2013

KUALA LUMPUR: Sapura mengalahkan Maybank 2-1 untuk meraih tempat ketiga pada perlawanan penentuan tempat Piala TNB 2013 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, malam Sabtu.

Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin muncul wira pasukan Sapura apabila menyumbang gol kemenangan pada minit ke-49.

Sebelum itu, kedua-dua pasukan menampilkan rentak permainan berhati-hati walaupun masing-masing mendapat beberapa peluang menghasilkan jaringan.

Hanya pada minit ke-33, usaha Sapura akhirnya berjaya membuahkan hasil apabila Khasif Ali menyempurnakan pukulan sudut penalti yang kelima diterima pasukan itu sepanjang perlawanan.

Dua minit berselang selepas itu, Maybank menyamakan kedudukan 1-1 menerusi pukulan sudut penalti oleh pemain import Shafqat Rasool.

Selepas rehat, Sapura terus menggandakan asakan ke gawang lawan dan ternyata usaha mereka berbaloi apabila Izwan Firdaus merembat kemas gol padang.

Jurulatih Sapura Tai Beng Hai memuji anak buahnya kerana bermain secara konsisten sepanjang musim dan akan memantapkan pasukan dengan pemain import pada musim depan.

Perlawanan akhir antara juara bertahan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) menentang Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan berlangsung esok. - BERNAMA

Artikel Lain