KUALA LUMPUR: Pelari pecut negara, Zaidatul Husnia Zulkifli dan Sebastian Lee Coma dinobatkan selaku Ratu dan Raja Pecut Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan 2013, di Stadium mini Majlis Sukan Negara di sini, Jumaat.Bagaimanapun Muhammad Irfan Shamsuddin paling mencuri tumpuan pada hari pertama kejohanan berkenaan selepas berjaya mencipta rekod baharu kebangsaan dalam acara melempar cakera lelaki senior. Atlet berusia 18 tahun yang mewakili Negeri Sembilan berjaya mencatat jarak 49.81 meter mengatasi rekod berusia hampir tujuh tahun milik atlet Sarawak, Ngu Kit Ming yang direkodkan pada September 2006 iaitu 49.33 meter.Sementara pingat perak dan gangsa masing-masing menjadi milik atlet Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd Hafis Hashim 40.67m) dan Sharil Firdaus Basir (38.85m)."Saya sebenarnya tidak menyasarkan dapat mencipta rekod kebangsaan yang baru. Apa yang saya tanam dalam pemikiran saya ialah untuk layak ke Sukan SEA Myanmar."Walaupun gembira dengan rekod kebangsaan tetapi saya agak sedih kerana belum layak ke Sukan SEA," katanya.Menurut pelajar tahun satu bidang Pengurusan Perniagaan di Universiti Malaya itu, sebelum memulakan saingan hari ini beliau begitu yakin dapat mencapai had kelayakan ke Sukan SEA Myanmar pada Disember depan."Semasa membuat latihan, saya dapat melakukan jarak lebih 50 meter. Sebaik sahaja memulakan saingan tiba-tiba sahaja saya menjadi gementar. Konsentrasi saya terganggu kerana terlampau memikirkan soal untuk layak ke Sukan SEA buat kali pertama. Ia sememangnya menjadi pengajaran berguna kepada saya," katanya.Beliau akan menjadikan Kejohanan Olahraga Hong Kong pada 29 Jun ini sebagai medan terakhir beliau untuk melepasi kelayakan ke Sukan SEA iaitu 50.56 meter.Terdahulu dalam acara 'reben biru' kejohanan itu iaitu 100m wanita senior, Zaidatul Husnia yang mewakili Pulau Pinang mengatasi juara tahun lepas, Komalan Shally, dari pasukan Angkatan Tentera Malaysia, berdasarkan kepada keputusan 'photo finish' selepas kedua-dua pelari jarak dekat itu masing-masing mencatat masa 12.03 saat.Sementara pingat gangsa menjadi milik kakak Zaidatul Husnia, Zaidatul Husna yang ketinggalan hanya 0.05 saat di belakang dua pesaing itu."Saya gembira dapat muncul juara dalam kejohanan ini. Sememangnya kami bertiga sentiasa bersaing antara satu sama lain dalam banyak kejohanan tempatan," katanya, sambil menambah catatan masa terbaik peribadi beliau ialah 11.91s pada GP Olahraga di sini pada April lepas.Dalam acara 100m lelaki senior, atlet Terengganu, Sebastian berjaya melintasi garisan penamat dengan hanya 0.01 saat untuk mengatasi pelumba 110 meter berpagar negara, Mohd Rayzamshah Wan Sofian.Sebastian berjaya mencatat masa 10.67 saat manakala Mohd Rayzamshah mencatat 10.68 saat. Pingat gangsa menjadi milik Mohd Shahmini Azmi dari Negeri Sembilan dengan masa 10.74 saat.Mohd Rayzamshah yang baru pulang dari Jerman semalam sekadar mencuba nasib dalam acara 100m kerana mahu mencari daya pecutan dan daya ketahanan bagi menghadapi acara kegemarannya yang dijadualkan, Ahad ini. -BERNAMA