KUCHING: Ketua jurulatih Sarawak Robert Alberts amat gembira dan memuji anak buahnya kerana mempamerkan prestasi cemerlang hingga muncul sebagai juara Liga Perdana setelah mengalahkan Kuala Lumpur 4-0 di Stadium Negeri di Petra Jaya, Kuching, malam Isnin."Malam ini (Isnin) akan tercatat dalam sejarah bola sepak negeri ini. Sarawak menang dengan bergaya dan mencatat rekod tanpa kalah serta mempunyai satu perlawanan saja lagi. Kemenangan ini akan menyaksikan Bujang Senang kembali beraksi dalam Liga Super pada musim depan, yang dijadual bermula pada 5 Julai."Saya beritahu pemain saya, jika kita tumpukan hati dan semangat kita, kekal dengan kedudukan tanpa kalah, pasti kita akan meraih gelaran juara, saya amat gembira dan berbangga dengan kemenangan pada malam ini," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu di sini. - BERNAMA