suria

Donnelly Menang Peringkat Kedua, Sea Keong Rampas Empat Jersi

BATU PAHAT: Aaron Donnelly, pelumba pasukan Huon Salmon-Genesys Wealth Adviser, memenangi peringkat kedua perlumbaan berbasikal Jelajah 1Malaysia 2013 (J1M 2013) dari Rembau ke Batu Pahat pada Khamis.

Pelumba berusia 22 tahun dari Australia itu menamatkan perlumbaan sejauh 197.6km dengan catatan masa empat jam 44 minit 53 saat.

"Ini bukan kemenangan pertama bagi diri saya dan saya gembira untuk mencapai kejayaan di sini. Perlumbaan ini adalah sukar tetapi berjaya memintas kelompok utama 14 pelumba dengan melakukan taktik serangan lima kilometer dari garisan penamat," kata Donnelly.

Pelumba tertua J1M 2013, Lex Nederlof daripada pasukan CN Cycling Team, menamatkan saingan di tempat kedua.

Pelumba berusia 47 tahun dari Belanda itu hanya ketinggalan 0.3 saat di belakang pemenang sementara pelumba negara Loh Sea Keong, yang mewakili pasukan OCBC Singapore Continental Cycling Team, menduduki tempat ketiga dengan catatan masa 4:45:02s.

Bagaimanapun, tumpuan terarah kepada Sea Keong apabila beliau merampas jersi Kuning (pelumba terbaik keseluruhan), jersi Hijau (Raja Pecut), jersi Biru (pelumba terbaik Asia) dan jersi Putih selaku pelumba terbaik Malaysia.

Beliau merampas jersi Kuning daripada Kiril Pozdnyakov selepas mengumpul catatan masa 8:58:50s apabila pelumba Russia itu jatuh ke tangga ketiga dengan catatan masa 8:59:31s.

Peringkat ini sebenarnya untuk pelumba pecut dengan banyak laluan landai.

Saya berjaya mendapat mata bonus di garisan penamat untuk jersi Hijau, kata Sea Keong.

Katanya beliau berada di kelompok utama dan melihat enam pelumba dalam kelompok itu mula melakukan serangan kira-kira 10km dari garisan penamat.

"Saya hanya ikut mereka dan dengan bantuan pelumba negara lain, saya berjaya merampas jersi Kuning," kata pelumba berusia 26 tahun dari Kelantan itu.

Perlumbaan peringkat ketiga pada Jumaat merupakan laluan paling singkat iaitu 94.7km dari Batu Pahat ke Pontian dengan dua zon pecutan di Tampin dan Segamat.

"Saya tidak berani untuk bercakap apa-apa untuk peringkat ketiga pada Jumaat. Apa pun boleh berlaku tetapi berharap rakan sepasukan dapat membantu saya mempertahankan jersi Kuning," kata Sea Keong. - BERNAMA

Artikel Lain