suria

FAM Cadang Wujud Pengadil Profesional Sepenuh Masa

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bercadang memperkenalkan pengadil profesional sepenuh masa bagi memastikan mutu pengadilan bola sepak negara berada di tahap terbaik.

Setiausaha Agung FAM baharu Datuk Hamidin Mohd Amin berkata cadangan itu yang dilontarkan presiden persatuan bola sepak negeri, akan dikemukakan pada mesyuarat Jawatankuasa Pengadil FAM akan datang dan jika bersesuaian, ia akan dilaksanakan.

Beliau berkata perubahan perlu dilakukan dari segi mutu pengadilan kerana aspek itu memainkan peranan penting dalam bola sepak negara dan jika tidak ditingkatkan, boleh menjejaskan imej badan induk itu.

"Pengadil sekarang tidak sama seperti dahulu. Sekarang, pengadil memainkan peranan yang amat penting kerana jika pengadil salah membuat keputusan, kerap melakukan kesilapan, ia boleh merosakkan dan menjatuhkan imej bola sepak negara dan FAM.

"Walaupun kita tahu pengadil itu manusia biasa, mereka tidak boleh kerap melakukan kesilapan. Kita perlu meningkatkan keupayaan dan tidak boleh berada di takuk lama," katanya kepada pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya dekat sini Isnin.

Hamidin yang hari ini memulakan tugas baharunya itu, berkata pengadil berkenaan akan dilatih dan dibayar oleh badan induk bola sepak negara itu.

"Kita akan kekalkan pengadil sedia ada. Sekarang, kita lihat ramai pengadil kita yang bukan sepenuh masa kerana ada dalam kalangan mereka yang bekerja sebagai guru, jadi kita mahu pengadil yang memberi sepenuh tumpuan.

Ditanya mengenai hari pertamanya memegang jawatan itu, Hamidin berjanji akan melakukan yang terbaik dan berharap mendapat kerjasama daripada semua pihak dalam menjayakan pembangunan bola sepak negara.

Dalam pada itu, Hamidin berkata beliau akan melepaskan jawatannya sebagai Naib Presiden FAM, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM dan Setiausaha Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), dan akan menghadap Presiden FAM Sultan Ahmad Shah dalam tempoh terdekat untuk memaklumkan berhubung perkara berkenaan.

Hamidin dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM yang baharu bagi menggantikan Datuk Azzuddin Ahmad yang dipilih Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) mulai hari ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain