KAZAN, (Russia): Atlet lontar peluru negara Adi Alifuddin Hussin optimis mahu melakar kejutan dalam penyertaan pertama pada temasya Sukan Universiti Dunia ke-27 (Universiade 2013) di sini.Katanya beliau perlu melepasi saingan pusingan kelayakkan bagi kumpulan A terlebih dahulu sebelum layak ke pusingan akhir bagi acara yang akan berlangsung esok di Central Stadium and Track and Field Hall di sini. Pusingan kelayakkan acara tersebut akan berlangsung pada pukul 10 pagi waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia) manakala pusingan akhir akan diadakan pada pukul 7.45m malam waktu tempatan (11.45 malam waktu Malaysia). "Persaingan di sini sangat sengit, terutamanya atlet dari Amerika Syarikat namum saya akan buat yang terbaik untuk layak ke peringkat akhir. "Sasaran pingat emas memang sukar tetapi saya tidak akan menyerah kalah begitu sahaja," katanya kepada pemberita di sini SAbtu.Adi merupakan pemenang pingat emas temasya Sukan SEA, Palembang 2011 dan merupakan pemegang rekod kebangsaan dengan catatan terbaik 17.53 meter. "Sasaran utama saya ialah memecah rekod peribadi dan mempertahankan pingat emas Sukan SEA. Beraksi di Universiade kali ini juga merupakan pemanas badan sebelum ke Sukan SEA Myanmar Disember inui," katanya. - BERNAMA