suria

ARRC: Saingan Terbuka Di Chennai - Khairul

Khairul Idham Pawi
 Khairul Idham Pawi
Khairul Idham Pawi

PELUMBA muda negara, Khairul Idham Pawi menjangkakan saingan Piala Impian Asia (Asia Dream Cup) pada pusingan ketiga Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS di Litar Lumba Motor Madras (MMRT), Chennai, India hujung minggu ini pasti lebih terbuka.

Ini kerana Khairul yakin perlumbaan ADC yang diadakan di litar sepanjang 3.717 kilometer buat kali pertama sekaligus menggambarkan saingan yang seimbang.

Remaja berusia 16 tahun ini turut percaya ia mampu membuka peluangnya untuk terus mencatat kemenangan dan merapatkan jurang mata dengan pendahulu, Hiroki Ono yang mendahului carta keseluruhan dengan 95 mata.

“Antara semua venue musim ini, saingan di MMRT paling adil dan terbuka kerana tiada satu pelumba atau mekanik ADC mempunyai pengalaman beraksi di sini.

"Saya ingin memanfaat peluang ini untuk merakam kejayaan seperti di Indonesia bagi merapatkan jurang 40 mata dengan Ono dan terus kekal sebagai pelumba yang mampu merebut gelaran keseluruhan musim ini,” jelas Khairul yang menduduki tangga ketiga keseluruhan dengan 55 mata.

“Bagi saya, kunci kejayaan pada hujung minggu ini bergantung kepada siapa paling pantas mendapat pelarasan terbaik.

"Oleh itu saya akan menggunakan sesi latihan bebas sebaik mungkin untuk memahami litar dan memberi input terbaik bagaimana jentera bertindak kepada para mekanik.

"Saya berharap ini dapat membantu mekanik saya menyediakan satu pelarasan kompetitif sebelum sesi kelayakan dan perlumbaan sebenar pada hari Ahad."

Dia turut menambah: “Dalam pada itu saya tiada niat mengambil mudah saingan di Chennai nanti kerana pelumba senior telah memberi amaran litar yang dibina dengan 12 selekoh ini amat mencabar sekali.

"Tambahan pula, ini merupakan perlumbaan pertama saya ketika berpuasa."

Artikel Berikut

Artikel Lain