Katsuaki FujiwaraPENCABAR utama saingan SuperSports 600cc, Katsuaki Fujiwara berharap jentera Kawasaki pasukannya berada pada tahap terbaik menjelang pusingan ketiga Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS 2013 yang akan berlangsung di Litar Lumba Motor Madras (MMRT)Chennai, India pada 11 hingga 13 Julai ini.Pelumba BEET Kawasaki Racing itu berpendapat jentera Kawasaki ZX6R mereka tidak mempunyai banyak kelebihan di litar sepanjang 3.718 kilometer itu berbanding jentera Honda dan Yamaha sekaligus menyukarkan tugasnya untuk memburu podium. Kegusaran Fujiwara hadir berikutan kegagalannya menamatkan kedua-dua perlumbaan di atas podium sewaktu kali terakhir perlumbaan berlangsung di MMRT pada tahun 2011 sekalipun berjaya bergelar juara keseluruhan pada musim tersebut."Saya agak kecewa jika mengimbau kenangan pertama kali beraksi di MMRT pada tahun 2011."Itulah satu-satunya pusingan perlumbaan di mana saya langsung gagal untuk menaiki podium."Jurutera kami sudah mencuba sehabis baik untuk mendapatkan suspensi yang terbaik dan juga untuk memaksimumkan kuasa enjin, namun usaha kami semua menemui kegagalan,"kata pelumba Jepun itu.Meskipun begitu, pelumba berusia 38 tahun itu tetap optimis bagi menghadapi perlumbaan kali ini."Ini merupakan kali kedua saya beraksi di MMRT dan sudah pasti saya mengharapkan keputusan yang lebih baik."Sebagai pelumba, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk memberi yang terbaik dan menamatkan perlumbaan di atas podium," jelasnya Fujiwara yang kini berada di tangga kedua keseluruhan dengan mengumpul 69 mata.