suria

Hoki Masih Berpeluang Raih Pingat Emas Pertama - Ketua Kontinjen

KAZAN: Kontinjen Malaysia optimis mampu membawa pulang satu pingat emas pertama dalam acara hoki atau menembak pada temasya Sukan Universiti Dunia ke-27 (Universiade 2013) di sini.

Ketua kontinjen Datuk Dr Kasim Md Mansor berkata beliau yakin dengan kemampuan skuad hoki untuk muncul juara kumpulan biarpun tewas dalam satu perlawanan ketika menentang tuan rumah, Russia pada Rabu.

"Hoki masih ada peluang untuk mendapat pingat emas, perlawanan masih berjalan. Jika hoki terlepas pingat emas, kita masih ada peluang dalam acara menembak, katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Sehingga hari keenam temasya Universiade 2013, kontinjen negara mencatatkan punggutan tiga pingat gangsa dalam acara badminton.

Tiga pingat tersebut diraih oleh perseorangan lelaki, Iskandar Zulkarnain, beregu lelaki Loh Wei Sheng/Jagdish Singh dan beregu wanita, Chow Mei Kuan/Lee Meng Yean.

"Ini menunjukkan kita sudah mencapai satu pencapaian terbaik berbanding pada Universiade Shenzen yang mana ketika itu kita tidak mendapat sebarang pingat dalam acara badminton.

"Bagi bola sepak, walaupun perlawanan masih berjalan tetapi skuad menunjukkan prestasi yang baik apabila layak ke peringkat suku akhir," katanya.

Sementara itu, Iskandar ketika ditemui berkata skuad badminton gembira dapat menyumbang pingat buat kontinjen bagaimanapun masih tidak berpuas hati dengan prestasi ketika saingan separuh akhir pada Rabu.

"Pasukan sangat gembira dapat tiga pingat gangsa untuk kontinjen, tetapi secara peribadi masih banyak yang perlu saya perbaiki untuk menghadapi perlawanan akan datang," kata Iskandar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain