suria

50m Rifle Prone Berpasukan Lelaki Berpeluang Sumbang Pingat Buat Negara

KAZAN, (Russia): Acara 50m rifle prone berpasukan lelaki negara mempunyai peluang menyumbangkan pingat kepada kontinjen temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade ke-27) pada acara itu yang akan berlangsung di Lapang Sasar Sviyaga Shooting Complex pada Isnin.

Hisyam Adzha berkata beliau dan rakan sepasukannya Mohd Nurahimin Abd Halim dan Mohamad Lutfi Othman lebih yakin beraksi dalam kategori tersebut yang merupakan acara kegemaran mereka.

"50m rifle prone memang acara kegemaran kami berbanding hari ini dalam acara 10m air rifle.

"Kami lebih yakin untuk beraksi esok, saya percaya kalau masing-masing buat catatan peribadi terbaik, peluang untuk mendapat tiga kedudukan terbaik itu ada," kata Hisyam kepada pemberita di sini.

Pada acara 10m air rifle berpasukan lelaki hari ini trio tersebut gagal membuat bidikan terbaik apabila menduduki tempat ke-12 daripada 15 pasukan dengan 1819.6 mata.

Pingat emas dimenangi Zhiguo Liu/Yifei Cao/Lilong Liu dari China dengan 1877.8 mata, pingat perak diraih Nazar Luginets/Sergey Kamenskiy/Sergei Kruglov dari pasukan tuan rumah, Russia (1874.3 mata) manakala pingat gangsa menjadi milik Sung-hyun Park/Jeyul Jeyon/Jeawon Lee dari Korea Selatan dengan 1855.0 mata.

Mohd Nurahimin yang merupakan adik kepada penembak kebangsaan Nur Ayuni, berkata, "Level prestasi atlet menembak China dan Russia sangat tinggi...memang sukar untuk ditandingi. Kami memerlukan lebih banyak latihan dalam acara 10m air rifle.

"Acara itu tidak sama dengan 50m rifle prone".

-BERNAMA

Artikel Lain