KUANTAN: Cadangan untuk menswastakan Liga Malaysia perlu diperhalusi agar mampu memberi impak yang besar kepada bola sepak negara, kata Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.Beliau berkata sebarang keputusan berhubung cadangan untuk menswastakan Liga M itu tidak perlu dibuat secara melulu memandangkan minat dan sokongan kepada sukan nombor satu negara itu semakin meningkat. "Ia memerlukan cadangan yang lebih baik berbanding apa yang dilaksanakan sekarang. Kita takut kalau diswastakan terus, takut ada implikasi lagi nanti, itu yang menyukarkan pihak FAM," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di Masjid Sultan Ahmad Shah Bukit Goh di sini malam tadi."Gabungkan tenaga swasta dengan tenaga FAM dan kita perkemaskan dalam masa terdekat," katanya lagi.Sebelum ini, beberapa pihak tampil mencadangkan supaya Liga M diswastakan bagi membolehkan pengurusan liga dapat dilakukan dengan lebih baik.Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM Datuk Afandi Hamzah sebelum ini turut memaklumkan FAM akan melaksanakan liga profesional bola sepak negara pada 2015 sambil mengumumkan FAM akan bersidang sekali lagi pada 26 Julai ini bagi membincangkan cadangan untuk menswastakan Liga M.Tengku Abdullah berkata pada dasarnya beliau bersetuju dengan penswastaan itu namun tetap agak bimbang terhadap mutu bola sepak negara apabila liga itu diswastakan sepenuhnya kelak.-BERNAMA