suria

Hoki: Malaysia Perlu Cipta Sejarah Pada Piala Asia Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Skuad hoki negara perlu menggunakkan kelebihan bermain di halaman sendiri untuk muncul juara Piala Asia 2013 di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, dari 24 Ogos hingga 1 Sept ini.

Juara Piala Asia itu akan mewakili benua Asia pada Kejohanan Piala Dunia 2014 yang disertai 12 negara di The Hague, Belanda, dari 2 hingga 15 Jun tahun depan.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata tiada alasan untuk skuad negara tidak menunjukkan prestasi cemerlang kerana mereka bakal menerima sokongan padu daripada penyokong tempatan.

"Saya harap pemain kita sedar betapa pentingnya Piala Asia. Kita tak pernah menang kejohanan itu dalam sejarah hoki Malaysia, kalau boleh kita nak pecahkan mentaliti itu.

"Peluang kita cerah dengan kombinasi pemain lama yang berpengalaman dan pemain baharu yang bagus. Inilah peluang kita untuk membuat satu peningkatan yang besar," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan insentif kepada skuad hoki negara di sini, hari ini.

Tengku Abdullah berharap jurulatih kebangsaan Paul Revington dapat mengenal pasti kelemahan pemain dan berusaha mengatasinya.

Selain itu, kejayaan menduduki tempat kelima pada kejohanan Liga Hoki Dunia di Johor Baharu baru-baru ini adalah pencapaian cemerlang bagi skuad hoki negara.

Baginda mengakui kekalahan kepada juara dunia dan juara Olimpik, Jerman yang muncul juara apabila menewaskan Argentina 4-2 pada aksi final, memang sukar untuk ditandingi.

"Tapi itu bukan alasan untuk terus gagal, kita kena sentiasa konsisten. Tidak kira bermain dengan pasukan kuat ataupun lemah. Mereka harus menunjukkan peningkatan pada setiap perlawanan," katanya.

Pada Piala Asia 2009 di Kuantan, Pahang, Malaysia menduduki tempat keempat selepas kalah 7-6 ke atas China dalam pukulan penalti selepas terikat 3-3 pada perlawanan penentuan tempat ketiga.

Untuk rekod, Malaysia beraksi enam kali pada Piala Dunia sejak 1973 dan kali terakhir menduduki tempat kelapan ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah pada 2002.-BERNAMA

Artikel Lain