suria

Tiada Wakil MPM Sambut Ziyad Di KLIA, Undang Tanda Tanya

PUTRAJAYA: Ketiadaan pegawai tertinggi Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menyambut ketibaan atlet elit paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli dari Perancis mengundang tanda tanya.

Bagaimanapun Presiden MPM Datuk Zainal Abu Zarin berkata isu itu tidak sewajarnya diperbesarkan.

Beliau berkata berlaku salah faham antara MPM dan Majlis Sukan Negara (MSN) dalam urusan menyambut ketibaan atlet itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi Rabu.

"Saya dapat tahu jam 8 pagi tadi mengenai berita ketibaan Ziyad. Jadi pukul 9 pagi saya ada satu mesyuarat dan beliau tiba lebih awal daripada itu.

"Kalau tidak, pasti ada wakil MPM hadir walaupun saya tidak hadir. Jadi mungkin ada silap hubungan antara MSN dan MPM," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Sukan Para Remaja Asia Malaysia (AYPG 2013) yang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin di sini hari ini.

Muhammad Ziyad, 23, meraih pingat emas acara lontar peluru kategori F20 lelaki pada Kejohanan Olaharaga Dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) di Lyon, Perancis, 22 Julai lepas.

Mengenai sama ada MPM mempunyai perancangan khas untuk Muhammad Ziyad, Zainal berkata MPM tidak menolak kemungkinan mendapatkan khidmat jurulatih asing bagai membantu atlet itu mencapai kejayaan lebih cemerlang.-BERNAMA

Artikel Lain