suria

Chong Wei Ketuai Tujuh Wakil Negara Ke Pusingan Ketiga

GUANGZHOU: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengekalkan rentak cemerlang untuk mengetuai tujuh wakil negara mara ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia 2013 di Gimnasium Tianhe, pada Rabu.

Pemain nombor satu dunia itu menewaskan pemain muda Indonesia, Dionysius Hayom Rumbaka 14-21, 21-18, 21-11 pada pusingan kedua hari ini untuk berdepan pemain muda China, Wang Zhengming yang juga pilihan ke-14, pada Khamis.

Tugas berat menanti dua wakil negara dalam acara perseorangan lelaki apabila dijadual bertemu dua lagi pemain handalan China.

Chong Wei Feng, pilihan ke-15, yang menewaskan pemain Ukraine, Dmytro Zaradsky 21-6, 21-13, akan berdepan juara bertahan, Lin Dan manakala Liew Daren yang menewaskan pemain Singapura, Derek Wong 21-13, 21-13 akan menentang pilihan kedua, Chen Long.

Tiga beregu lelaki negara turut membawa cabaran Malaysia pada pusingan ketiga Khamis apabila gandingan Mohd Zakry Abdul Latif/Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari dan Hoon Thien How/Tan Wee Kiong, berjaya mengatasi lawan masing-masing pada pusingan kedua.

Mohd Zakry/Mohd Fairuzizuan yang menewaskan pasangan Russia, Vladimir Ivanov/Ivan Sozonov 14-21, 21-15, 21-16 akan berdepan pilihan keempat, Hiroyuki Endo/Kenichi Hayakawa dari Jepun.

Gandingan Hoon Thien How/Tan Wee Kiong, yang menewaskan rakan sepasukan, Goh V Shem-Lim Khim Wah 21-15, 21-18, akan menentang pasangan handalan China yang juga pilihan kelapan, Cai Yun/Fu Haifeng.

Beregu utama negara yang juga pilihan kedua, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong yang mendapat 'bye' pada pusingan pertama dan kedua, pula akan turun berdepan pasangan Hong Kong, Lee Chun Hei/Ng Ka Long.

Gandingan Vivian Hoo/Woon Khe Wei, yang merupakan pilihan ke-14, menjadi wakil tunggal Malaysia dalam acara beregu wanita apabila menewaskan pasangan Jepun, Yuriko Miki-Koharu Yonemoto 22-20, 21-14.

Mereka akan berdepan beregu pilihan kelapan, Eom Hye Won/Jan Ye Na dari Korea Selatan dalam saingan pusingan ketiga.

Tiga lagi wakil Malaysia dalam acara beregu wanita pula gagal meneruskan kemaraan apabila terkandas pada pusingan kedua.

Goh Liu Ying/Lim Yin Loo tewas kepada pasangan Korea Selatan, Jung Kyung Eun/Kim Ha Na 20-22, 7-21 sementara Ng Hui Ern/Ng Hui Lin turut tumpas kepada beregu Korea Selatan, Lee So Hee/Shin Seung Chan 21-13, 20-22, 23-25.

Amelia Alicia Anscelly/Soong Fie Cho pula terpaksa akur kepada pilihan kesembilan, Pia Zebadiah Bernadeth/Rizki Amelia Pradipta dari Indonesia 14-21, 19-21. - BERNAMA

Artikel Lain