suria

BAM Perlu Bertindak Segera Cari Pengganti Chong Wei

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu segera mencari pengganti jaguh negara Datuk Lee Chong Wei dan tidak boleh terus mengharapkan kepada pemain nombor satu dunia itu, kata bekas Presiden BAM Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh.

Mohd Nadzmi berkata kepimpinan baharu badan induk sukan badmiton negara itu perlu membuka peluang kepada barisan pemain muda untuk membuktikan kemampuan mereka sebagai pelapis badminton negara.

"Chong Wei adalah seorang pemain yang handal, tetapi kita perlu mengambil kira soal usianya. Kita perlu memikirkan lebih ramai pemain pelapis untuk mewakili Malaysia dalam kejohanan penting pada masa akan datang," katanya.

Skuad badminton negara masih belum menemui pemain yang layak mengganti tempat Chong Wei namun dua pemain muda iaitu Liew Darren dan Chong Wei Feng disebut-sebut bagi memikul tanggungjawab itu.

Pada Kejohanan Dunia di Guangzhou, China, Darren dan Wei Feng masih gagal memberi saingan pada kejohanan berprestij itu apabila sekadar mampu mara ke pusingan ketiga.

Chong Wei berpendapat Darren dan Wei Feng perlu menggunakan pengalaman beraksi di Kejohanan Dunia untuk lebih mempamerkan aksi yang kompetetif pada kejohanan akan datang.

Pemain nombor satu dunia itu gagal dalam misi meraih gelaran sulung pada Kejohanan Dunia di Guangzhou, China, Ahad lepas, selepas kalah kepada musuh tradisinya Lin Dan.

Pada final perseorangan lelaki perlawanan tersebut Chong Wei terpaksa menarik diri pada set penentuan ketika 17-20 selepas mengalami kekejangan otot di kaki dan perut.

Sebelum itu, Chong Wei memenangi set pertama 21-16 dan kalah 13-21 pada set berikutnya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan