suria

Chong Wei Belum Mahu Bersara, Janji Bangkit Pada Sukan Olimpik 2016

SEPANG: Biarpun Lin Dan menyekat impian Datuk Lee Chong Wei untuk merangkul kejuaraan dunia 2013 pada Ahad, namun jaguh badminton negara itu masih belum terbuka hati untuk bersara.

Sebaliknya, Chong Wei melupakan hasrat bersara yang pernah diluahkan sebelum Sukan Olimpik London 2012 untuk mengejar misi merangkul emas pertama negara sukan Olimpik pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

"Impian saya ialah meraih kejuaraan pada Sukan Olimpik 2016. Saya akan cuba yang terbaik nanti," katanya sejurus tiba dari Guangzhou, China, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 6.30 petang Isnin.

Pemain nombor satu dunia itu, yang mencecah usia 31 tahun pada 21 Oktober ini, gagal dalam misi meraih gelaran sulung pada Kejohanan Dunia di Guangzhou pada Ahad selepas kalah kepada musuh tradisinya dari China itu.

Chong Wei terpaksa menarik diri pada set penentuan ketika 17-20 selepas mengalami kekejangan otot di kaki dan perut.

Sebelum itu, Chong Wei memenangi set pertama 21-16 dan kalah 13-21 paad set berikutnya.

Chong Wei berkata, beliau berharap keadaan fizikalnya akan kembali cergas secepat mungkin untuk meneruskan latihan bagi menghadapi Kejohanan Dunia 2014 di Denmark.

Beliau, yang kecewa dengan kekalahan itu, menyifatkan cabaran pada kejohanan dunia di Guangzhou adalah paling sengit.

Permainan Chong Wei dikatakan tidak menjadi apabila pendingin hawa di Gimnasium Tianhe di Guangzhou tiba-tiba ditutup dan keadaan panas serta tidak berangin itu merubah sepenuhnya perjalanan perlawanan.

Chong Wei meminta rawatan pada kedudukan 16-19 di set ketiga dan cuba menyambung permainan, namun beliau tidak mampu bergerak pada kedudukan 17-20 untuk menghadiahkan kejuaraan dunia yang kelima buat Lin Dan.

"Saya tidak boleh buat apa-apa. Mungkin kelebihan kepada Lin Dan... Apa pun saya kena belajar dari kesilapan saya sendiri.

"Doktor beritahu saya kekurangan air dalam badan dan banyak berpeluh menyebabkan saya mengalami kekejangan otot," katanya.

Ketika mengulas tentang prestasi pencabarnya, Chong Wei berkata corak permainan Lin Dan tidak banyak berubah, serta beranggapan bermain di gelanggang sendiri memberi kelebihan kepada lawannya itu.

"Walaupun Lin Dan kurang beraksi dalam beberapa kejohanan penting pada tahun ini, prestasi beliau masih sama dan tidak banyak berubah.

"Mungkin bermain di gelanggang sendiri dengan penyokong memberikan beliau lebih bersemangat untuk menjadi juara," katanya.

Sementara itu, isterinya Datin Wong Mew Choo berkata beliau tetap akan menyokong karier Chong Wei dan yakin impian suaminya untuk meraih kejuaraan pada kejohanan dunia akan datang akan menjadi kenyataan.

"Chong Wei sudah cuba yang terbaik, menang kalah merupakan adat pertandingan. Saya tetap berbangga walaupun menghadapi tentangan sengit dari Lin Dan, beliau tetap lawan," katanya Mew Choo yang juga merupakan bekas pemain perseorangan wanita negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan