suria

Ashour Yakin Skuasy Akan Disenarai Dalam Sukan Olimpik 2020

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy perseorangan lelaki nombor satu dunia Ramy Ashour melahirkan keyakinan Lembaga Eksekutif Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) akan memberi persetujuan untuk sukan itu disenaraikan dalam Sukan Olimpik 2020.

Pemain Mesir berusia 26 tahun itu berkata beliau akan membuat pembentangan terakhirnya di hadapan anggota IOC pada Perhimpunan Agung badan itu pada 8 September di Buenos Aires, Argentina.

"Kami sedang melakukan yang terbaik untuk membantu skuasy dimasukkan dalam Sukan Olimpik dengan kami melakukan penyusunan semula jadual sibuk kami untuk memastikan pembentangan itu berjaya.

"Bagi diri saya, ia satu kebanggaan dan penghormatan untuk menjadi sebahagian usaha Olimpik ini dan saya berharap jawatankuasa IOC akan kagum dengan pembentangan itu nanti," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan sesi klinik skuasy untuk pelajar sekolah sekitar Lembah Klang di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil, di sini Sabtu.

Juara dua kali dunia itu berkata ratu skuasy Malaysia dan pemain wanita nombor satu dunia Datuk Nicol Ann David tidak dapat menyertai beliau pada pembentangan itu kerana terikat dengan Kejohanan Skuasy Terbuka CIMB Malaysia pada 10-15 September di sini.

Ashour berkata penyenaraian skuasy dalam Sukan Olimpik 2020 pasti akan menaikkan sukan itu ke tahap lebih tinggi yang menjadi impian setiap pemain skuasy seluruh dunia.

"Jika sukan ini disenarai dalam Olimpik, nilai sukan ini akan lebih tinggi. Ia bukan mengenai nilai materialistik tetapi penyertaan dalam sukan itu sendiri akan memberikan impak baik kepada tahap skuasy yang setara dengan sukan lain dalam Olimpik," kata Pemain Terbaik PSA 2012 itu.

Skuasy adalah antara tiga finalis di samping baseball-softball dan gusti yang menyasarkan satu tempat dalam Sukan Olimpik 2020.

Istanbul (Turki), Tokyo (Jepun) dan Madrid (Sepanyol) disenarai pendek oleh IOC sebagai calon terakhir untuk menjadi tuan rumah sukan itu pada 2020. - BERNAMA

Ramy Ashour, IOC, Sukan Olimpik 2020

Artikel Lain