suria

Isu Doping: Tamparan Kepada Bola Sepak Tempatan - Tengku Abdullah

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah
Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah
Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyifatkan arena bola sepak tempatan bakal menerima 'satu tamparan' jika terdapat pemain mengambil bahan terlarang bagi meningkatkan prestasi mereka.

"Tunggulah saya siasat dulu perkara ini. Kita harus tunggu laporan yang akan dikemukakan.

"Kalau didapati benar, ia satu tamparanh (kepada sukan bola sepak negara)," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DRB-Hicom di sini, Isnin.

Beliau mengulas mengenai laporan seorang pemain pasukan Kelantan didapati positif dalam ujian doping selepas tamat aksi perlawanan akhir Piala FA, 29 Jun lepas.

Mengulas lanjut, Tengku Abdullah berkata setakat ini, FAM belum menerima laporan berhubung pemain bola sepak tempatan yang dilaporkan terlibat dalam kes berkenaan.

Berhubung dakwaan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, mengenai gejala rasuah yang dikatakan melibatkan pemain negeri itu sepanjang Liga Malaysia musim ini, Tengku Abdullah mengarahkan agar perkara itu disiasat segera.

"FAM khususnya Setiausaha Agung (Datuk Hamidin Mohd Amin) dapat bertindak ke atas laporan itu. Adakah ia benar atau tidak. Perlu membuat segera tindakan susulan untuk membanteras ini (rasuah) habis-habisan," katanya.

Beliau berkata, gejala rasuah adalah perkara amat serius yang memerlukan pendekatan dan tindakan yang efektif agar tidak menjejaskan pembangunan sukan bola sepak tanahair. - BERNAMA

Artikel Lain