KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya tewas 0-2 kepada China pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Tianjin, China pada Selasa.Mereka dikejutkan dengan jaringan pembukaan pemain sayap China, Zheng Long menerusi sepakan percuma yang menarik pada minit ke-43 sebelum Yang Xu mengesahkan kemenangan mutlak buat pengendali sementara Fu Bo dengan gol kedua pada minit ke-57. Perlawanan berkenaan merupakan antara usaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menaikkan kembali ranking skuad Harimau Malaya kendalian Datuk K. Rajagobal yang kini berada pada kedudukan ke-162 dunia.Ia juga merupakan medan pemanas badan untuk skuad berkenaan menghadapi Bahrain pada aksi ketiga Kumpulan D, pusingan kelayakan Piala Asia 2015 pada 15 Oktober ini di Stadium Shah Alam.Malaysia kini menduduki tangga ketiga kumpulan dengan mengumpul tiga mata selepas dua perlawanan.Mereka sebelum ini kalah 0-2 kepada Qatar dalam aksi pembukaan pusingan kelayakan di Doha, 6 Februari lepas sebelum bangkit menundukkan Yaman, 2-1 di Stadium Shah Alam pada 22 Mac.Dalam perkembangan berasingan, skuad Bawah 19 tahun (B-19) kebangsaan memulakan kempen Kejohanan Bola Sepak Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) B-19 di Indonesia dengan mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Myanmar di Stadium Petrokimia, Jawa Timur.Mereka dijadualkan menentang Vietnam pada aksi kedua di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, Jawa Timur, Khamis ini, demikian menurut laman web aff;www.aseanfootball.org. BERNAMA